Karya seni bernilai AS$10 juta dicuri dari Muzium Renoir di Perancis

Facebook
WhatsApp
DATUK Bandar Cagnes-sur-Mer daripada Rassemblement National (RN), Bryan Masson, memberikan kenyataan di luar Muzium Renoir selepas empat lukisan bernilai keseluruhan sembilan juta euro dicuri dalam kejadian pecah masuk pada awal pagi, dengan salah satu daripadanya ditemui semula berhampiran lokasi dan dua suspek masih diburu, di Cagnes-sur-Mer pada 8 September 2026. Foto AFP

MARSEILLE, Perancis: Dua pencuri memecah masuk ke sebuah muzium yang didedikasikan kepada pelukis impresionis Perancis, Pierre-Auguste Renoir, di selatan Perancis dan mencuri “empat karya seni”, namun salah satu daripadanya tercicir ketika mereka melarikan diri, kata seorang datuk bandar.

“Pagi ini, dua individu memecah masuk ke Muzium Renoir dan mencuri empat karya seni,” kata Bryan Masson, datuk bandar berhaluan kanan pekan Cagnes-sur-Mer.

“Mereka dikesan menerusi kamera pengawasan video milik bandar sebelum melarikan diri dan meninggalkan salah satu lukisan yang dicuri,” katanya sambil menambah bahawa pejabatnya menganggarkan nilai karya seni yang dicuri itu sebanyak 9 juta euro (AS$10 juta).

WARTAWAN merakam video dan mengambil gambar Muzium Renoir dari luar pintu pagar di Cagnes-sur-Mer pada 8 September 2026. Foto AFP

Muzium Renoir dibuka pada 1960 di kediaman terakhir pelukis itu sebelum kematiannya pada 1919.

Koleksi muzium berkenaan merangkumi barangan dan perabot milik Renoir, termasuk kuda-kuda lukisan dan kerusi rodanya, selain potret, lukisan pemandangan serta karya bogel yang dihasilkan oleh pelukis berkenaan.

Datuk bandar itu berkata pihak berkuasa mengambil masa hanya lima minit untuk tiba di lokasi.

SEORANG anggota polis berdiri di hadapan pintu masuk Muzium Renoir di Cagnes-sur-Mer pada 8 September 2026. Foto AFP

“Penggera muzium berbunyi pada 5.48 pagi. Pada 5.53 pagi, hanya lima minit kemudian, polis perbandaran kami sudah berada di lokasi,” katanya.

Kes kecurian itu berlaku kurang setahun selepas lapan barangan bernilai kira-kira AS$100 juta dicuri dalam kejadian rompakan pada waktu siang di Muzium Louvre di Paris.

Empat suspek yang dipercayai terlibat dalam rompakan di Louvre sudah ditahan, namun barangan yang dicuri masih belum ditemui walaupun penyiasat Perancis menjalankan pencarian secara besar-besaran di sekitar Paris serta bekerjasama dengan polis di Belgium, Itali dan negara lain. – AFP