Indonesia sasar tujuh hari padam kebakaran tapak pelupusan sampah Solo

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba bertugas di lokasi kebakaran di tapak pelupusan sampah Putri Cempo, Solo, Jawa Tengah, pada 3 September 2026. Foto AFP

JAKARTA: Operasi memadam kebakaran yang hampir seminggu melanda tapak pelupusan sampah di Surakarta, yang lebih dikenali sebagai Solo, Jawa Tengah, dijangka berlanjutan sehingga tujuh hari lagi, manakala 105 penduduk masih berada di pusat pemindahan.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata kebakaran itu menjejaskan tiga daripada empat blok di tapak pelupusan berkenaan, dengan Blok C dan D disahkan selamat setakat malam Isnin, manakala operasi pemadaman diteruskan di Blok B.

SEBUAH helikopter menjalankan operasi pengeboman air bagi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Putri Cempo, Solo, Jawa Tengah, pada 4 September 2026. Foto AFP

“Pasukan gabungan menyasarkan kebakaran di Blok B dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari akan datang, dengan operasi disesuaikan mengikut perkembangan di lapangan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata pasukan pemadam kini memberi tumpuan kepada Blok B, terutama di sekitar talian elektrik, dengan kaedah suntikan dan semburan air digunakan untuk memadam titik panas yang masih aktif.

Menurut Agensi Alam Sekitar Surakarta, tapak pelupusan Putri Cempo yang terletak di Mojosongo, di bahagian timur laut bandar itu meliputi kawasan kira-kira 17 hektar, termasuk sekitar 14 hektar kawasan pelupusan sisa yang dibahagikan kepada empat blok, dengan tiga daripadanya terjejas akibat kebakaran.

Berton berkata anggota bomba dari Greater Solo, Semarang dan Cilacap terlibat dalam operasi itu dengan sokongan anggota tentera, polis dan sukarelawan, manakala BNPB serta Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) sedang membuat persiapan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan.

Walaupun keadaan berjerebu semakin reda, seramai 105 penduduk dari dusun Sulurejo di Karanganyar Regency masih berada di pusat pemindahan.

Kebakaran itu bermula pada 2 Sept, menyebabkan penduduk dipindahkan pada hari berikutnya selepas asap merebak ke kawasan berhampiran. – Bernama