MOSCOW, 10 November: Lebih 300 karya seni dan barangan bersejarah daripada koleksi galeri A La Vieille Russie di New York akan dilelong oleh Sotheby’s pada Disember, dengan jumlah anggaran melebihi AS$15 juta (RM60.80 juta), menurut syarikat lelongan itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Koleksi berkenaan merangkumi hasil seni Faberge, kotak emas, lukisan, barangan porselin, peralatan perak serta artifak yang dikaitkan dengan era Empayar Rusia.

Antara barangan yang menjadi tumpuan ialah beberapa hasil seni bunga Faberge, termasuk gubahan bunga violet yang pernah dimiliki Maharaja Nicholas II dan Maharani Alexandra Feodorovna.
Satu lagi artifak yang menjadi tumpuan ialah ikon keagamaan Mother of God of Vladimir, diperbuat daripada emas dan enamel serta dipercayai berasal dari bengkel Kremlin Armory di Moscow sekitar 1650.
Koleksi itu turut menampilkan “samovar” bersalut emas dan perak yang dikaitkan dengan Tsarevich Alexander Alexandrovich, putera Maharaja Alexander III yang meninggal dunia ketika masih bayi.
Lelongan secara langsung bertajuk ‘From the Vaults of A La Vieille Russie’ dijadual berlangsung di New York pada 16 Disember 2026, manakala lelongan dalam talian akan diadakan dari 3 hingga 17 Disember.

Beberapa barangan terpilih daripada koleksi berkenaan telah dipamerkan di Paris dan Geneva, manakala pameran seterusnya dijadual berlangsung di London dari 20 hingga 23 Nov dan New York dari 24 November hingga 8 Disember.
Pameran penuh koleksi itu di New York pula akan diadakan dari 12 hingga 16 Disember.

Kebanyakan karya seni yang bakal dilelong pernah dipamerkan dalam pameran utama hasil seni Faberge dan Rusia sejak 1930-an di muzium terkemuka antarabangsa serta di galeri A La Vieille Russie.- Bernama-Sputnik/Ria Novosti




