Bekalan elektrik Limbang, Lawas kekal seperti biasa sepanjang kerja pembaikan

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

LIMBANG: Sarawak Energy akan menutup sementara satu talian elektrik utama antara Bunut dan Lawas dari 9 hingga 20 September ini bagi membolehkan kerja pembaikan talian elektrik Medamit-Lawas dijalankan.

Bagaimanapun menurut kenyataannya, bekalan elektrik kepada pengguna di Limbang dan Lawas dijangka kekal seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan kerana bekalan akan disalurkan melalui satu lagi talian elektrik utama, iaitu laluan Bunut-Limbang dan Limbang-Lawas.

“Kerja berkenaan perlu dilaksanakan bagi memastikan pembaikan dapat dilakukan dengan selamat serta memastikan sistem bekalan elektrik di kawasan berkenaan terus berfungsi dengan baik.

“Sarawak energy akan memantau keadaan bekalan elektrik sepanjang tempoh kerja berkenaan dan bersedia mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang masalah.

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku gangguan tidak dijangka pada talian yang digunakan untuk menyalurkan bekalan elektrik, pengguna di Limbang dan Lawas mungkin mengalami gangguan bekalan sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarawak Energy akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko gangguan kepada pengguna sepanjang tempoh kerja pembaikan.

“Kerja berkenaan penting bagi memastikan bekalan elektrik di utara Sarawak kekal stabil dan boleh dipercayai,” jelasnya.

Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh diajukan kepada Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com, aplikasi atau portal SEB Cares serta ejen maya CARINA.