APM musnah sarang tebuan tanah gergasi sebesar tayar Kancil

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Daerah Spaoh berjaya memusnahkan sebuah sarang tebuan tanah gergasi sebesar tayar kereta Perodua Kancil di sebuah kebun sawit di Jalan Bungin-Serembang, semalam. Foto APM Spaoh

SPAOH: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh berjaya memusnahkan sebuah sarang tebuan tanah gergasi sebesar tayar kereta Perodua Kancil di sebuah kebun sawit di Jalan Bungin-Serembang, semalam.

Keberadaan sarang berbisa yang dianggarkan berukuran lilit 1.64 meter itu mengundang kebimbangan pemilik kebun sebelum beliau melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Menurut kenyataan media APM Daerah Spaoh, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan itu pada 4.30 petang.

Susulan itu, seramai empat anggota daripada Skuad Bravo APM Spaoh digerakkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan operasi Memusnah Sarang Serangga (MSS).

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat sebuah sarang tebuan tanah bersaiz besar seperti yang dilaporkan.

ANGGOTA APM menggunakan kaedah pembakaran bagi memusnahkan sarang tebuan tanah di sebuah kebun sawit di Jalan Bungin-Serembang, Spaoh. Foto APM Spaoh

“Pasukan anggota APM kemudiannya bertindak memusnahkan sarang tersebut sepenuhnya menggunakan kaedah pembakaran dengan dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE), termasuk baju pelindung lebah, bagi mengelakkan risiko sengatan,” jelas kenyataan tersebut.

Tindakan pantas skuad penyelamat itu berjaya mengembalikan rasa selamat kepada pengusaha kebun sawit berkenaan.

Operasi pemusnahan itu ditamatkan sepenuhnya pada 7.21 malam.

Dalam pada itu, APM menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan semberono atau cuba memusnahkan sarang serangga berbisa secara bersendirian kerana tindakan tersebut boleh mengundang risiko maut.

Orang awam yang memerlukan khidmat kecemasan disaran menghubungi pusat operasi APM di talian 083-473006 atau talian kecemasan kebangsaan 999.

Oleh Adi Safarman