TBS santuni keluarga asnaf terjejas ribut di Kampung Semarang

Facebook
WhatsApp
TBS tampil membantu sebuah keluarga asnaf di Kampung Semarang yang terjejas akibat kejadian ribut dan angin kencang yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini. Foto Tabung Baitulmal Sarawak

BELADIN: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) tampil membantu sebuah keluarga asnaf di Kampung Semarang yang terjejas akibat kejadian ribut dan angin kencang yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.

Tindakan itu memperlihatkan keprihatinan berterusan TBS dalam memastikan golongan yang berdepan musibah tidak dibiarkan menghadapi kesukaran bersendirian.

Menurut kenyataan media TBS, kediaman berkenaan dihuni enam ahli keluarga, termasuk tiga individu Orang Kurang Upaya (OKU).

Susulan kejadian tersebut, TBS turun padang bagi menyantuni keluarga terbabit selain menilai keperluan mereka dalam menghadapi kesan musibah yang berlaku.

Sebagai langkah segera meringankan beban keluarga, TBS menyalurkan Bantuan Tunai Kecemasan bagi membantu memenuhi keperluan penting selepas kejadian.

Selain bantuan tunai, keluarga berkenaan turut menerima Kotak Makanan dan Hidangan Sedia Dimakan (MRE) sebagai bekalan makanan bagi kegunaan harian.

Bantuan tersebut diserahkan terus kepada pihak keluarga, sekali gus memastikan keperluan asas mereka dapat diberi perhatian dengan segera.

TBS berharap bantuan yang disalurkan dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung keluarga berkenaan, terutama dalam tempoh mereka berusaha untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Pada masa sama, sokongan yang diberikan diharap dapat memberi kekuatan dan semangat kepada keluarga tersebut untuk bangkit menghadapi ujian akibat musibah berkenaan.

TBS menegaskan komitmennya untuk terus hadir bersama masyarakat, khususnya dalam membantu golongan memerlukan di seluruh Sarawak ketika berdepan situasi sukar.

Pendekatan itu selaras dengan usaha TBS untuk memastikan bantuan kebajikan dapat disampaikan kepada golongan sasaran secara berterusan, khususnya mereka yang memerlukan bantuan segera.

‘Bersama Memberi Kesejahteraan’ terus menjadi antara aspirasi TBS dalam memperkukuh peranan membantu dan menjaga kebajikan masyarakat yang memerlukan di Sarawak.

Oleh Adi Safarman