Kebakaran belukar 3.2 hektar di Jalan Taman Harmoni berjaya dipadam sepenuhnya

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba memasang saluran paip air bagi membantu operasi pemadaman kebakaran di Jalan Taman Harmoni, Sri Aman. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Kebakaran belukar yang melanda kawasan seluas kira-kira 3.2 hektar di Jalan Taman Harmoni berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas operasi pemadaman diteruskan pada hari kedua, semalam.

Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, operasi pada hari kedua itu melibatkan enam anggota bomba yang tiba di lokasi pada 8.33 pagi.

Ketua Balai BBP Sri Aman, PPgB Andrew Vengitasamy, bersama Pegawai Bomba Albert Shee Ji Long, turut hadir di lokasi pada 8.58 pagi bagi memantau dan menyelaras operasi pemadaman.

Komander Operasi, PBK II Abang Sarkawi Abang Shubeli, kemudian memberikan taklimat serta membahagikan anggota kepada dua kumpulan bagi memastikan kerja pemadaman dilaksanakan secara sistematik.

Kumpulan pertama terdiri daripada empat anggota yang menggunakan satu unit pam angkut GP 10/10 dengan sumber air terbuka dari parit. Beberapa aliran hos dibentangkan sehingga 500 kaki bagi membolehkan pemadaman dilakukan di sektor pertama.

Sementara itu, kumpulan kedua yang terdiri daripada dua anggota menggunakan sumber air daripada tangki lori Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sri Aman untuk menjalankan pemadaman di sektor kedua.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran belukar yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 3.2 hektar di Jalan Taman Harmoni, Sri Aman. Foto BBP Sri Aman

Operasi pemadaman menggunakan kaedah pemadaman menyeluruh dan serangan terus terhadap kawasan yang masih mempunyai api atau bara bagi memastikan kebakaran tidak kembali merebak.

Pada 2.10 petang, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sri Aman turut tiba di Pusat Kawalan Bomba (PKB) dengan membawa sebuah dron bagi membantu memantau kawasan kebakaran.

Usaha berterusan pasukan bomba akhirnya membuahkan hasil apabila kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 5.43 petang.

Operasi kemudiannya ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat.

Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa cabaran, termasuk kekurangan sumber air terbuka seperti parit serta faktor angin kencang yang menyebabkan api mudah merebak.

Operasi turut mendapat kerjasama dua anggota APM Sri Aman dan dua anggota JBALB Sri Aman dalam membantu pasukan bomba memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.

Oleh Adi Safarman