NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan beberapa cedera selepas terperangkap bawah runtuhan rumah dalam kejadian tanah runtuh di Mumbai.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang menzahirkan ucapan takziah di atas bencana di Chembur dan Vikhroli itu, mengumumkan bantuan sebanyak ₹200,000 (RM11,292) kepada setiap keluarga mangsa.
“Saya berasa sedih dengan tragedi yang menimpa mangsa di Chembur dan Vikhroli di Mumbai. Dalam berdepan saat getir dan sedih ini, saya berdoa supaya mereka yang tercedera, segera sembuh,” ciap Pejabat Perdana Menteri di Twitter.
Menurut pengurusan bencana, Brihanmumbai Municipal Corporation (BMC), insiden di Vashi Nakal dekat Mumbai itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi apabila tembok penahan sebuah rumah runtuh dihempap pokok.
Sebanyak 17 mayat dihantar ke Hospital Rajawadi, manakala dua lagi yang cedera dibenarkan pulang.
“Tiga mayat berhasil dikeluarkan dan difahamkan kira-kira enam orang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dekat Vikhroli susulan hujan lebat di Mumbai,” menurut Timbalan Komanden Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, Ashish Kumar.
Dalam kejadian berasingan, tiga orang terkorban dan dua lagi cedera selepas lima kediaman ranap akibat tanah runtuh di Vikhroli pada jam 2.40 pagi.
Bandar itu melaporkan hujan lebat antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi sehingga mengakibatkan beberapa kawasan termasuk Borivali, Kandivali, Malad, Andheri, Chembur, Kurla, Gandhi Market dan Hindmata dinaiki air.
Menurut BMC, bandar berkenaan merekodkan jumlah hujan sebanyak 156 milimeter dan 125 milimeter di pinggir bandar terbabit.
Perkhidmatan kereta api turut dihentikan berikutan landasan dinaiki air. – AFP