SPAOH: Penduduk Rumah Panjang Lingit, Anyut kini menikmati akses yang lebih selesa dan praktikal ke tanah perkuburan susulan siapnya projek menaik taraf laluan berkenaan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Projek yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Betong (MDB) selaku agensi pelaksana itu telah disiapkan sepenuhnya mengikut jadual, sekali gus memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk setempat.
Sebelum ini, laluan berkenaan hanya merupakan laluan pejalan kaki yang agak terhad untuk digunakan, khususnya ketika penduduk membawa barangan atau menguruskan urusan berkaitan tanah perkuburan.

Bagaimanapun, menerusi peruntukan RTP 2026, laluan tersebut kini dinaik taraf kepada jalan konkrit, menjadikannya lebih kukuh, selamat dan sesuai untuk kegunaan komuniti.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kemudahan baharu itu dijangka memudahkan penduduk dalam melaksanakan urusan ke tanah perkuburan.
“Sebelum ini penduduk hanya mempunyai laluan pejalan kaki untuk ke tanah perkuburan. Dengan ada jalan konkrit ini, urusan mereka tentu lebih mudah, terutama apabila perlu membawa ahli keluarga atau keperluan tertentu ke kawasan perkuburan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan keperluan komuniti terus diberi perhatian berdasarkan keadaan dan keperluan setempat.
“Walaupun projek ini kecil dari segi skop, manfaatnya besar kepada penduduk kerana ia berkaitan dengan urusan yang mereka lalui dari semasa ke semasa.
“Kita akan terus melihat keperluan seperti ini mengikut keadaan di setiap kawasan,” katanya.
Sementara itu, wakil Tuai Rumah Panjang Lingit merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta kerajaan Sarawak atas peruntukan RTP 2026 yang membolehkan projek berkenaan direalisasikan.
Dengan siapnya jalan konkrit itu, laluan menuju tanah perkuburan kini lebih mudah diakses, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk Rumah Panjang Lingit dalam pelbagai urusan komuniti.
Sesi serah siap projek yang berlangsung semalam turut dihadiri Ahli Majlis Daerah Betong, Kaunselor David Tinggi; wakil MDB, Drenny; wakil Tuai Rumah Panjang Lingit; wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban serta wakil kontraktor, Syarikat An Najwa.
Oleh Adi Safarman





