MIRI: Bahagian hadapan sebuah rumah di Kampung Muhibbah, di sini, runtuh pagi tadi dipercayai akibat keadaan struktur rumah yang sudah usang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.44 pagi sebelum sepasukan bomba digerakkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan di lokasi 9.53 pagi, pihaknya mendapati bahagian hadapan rumah yang menghadap sungai telah runtuh seperti dilaporkan pengadu.
“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 50 peratus struktur rumah tidak selamat untuk diduduki kerana keadaan rumah yang terlalu usang dan memerlukan kerja-kerja pembaikan,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan keselamatan dilakukan di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada 10.08 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Oleh Liong Chai Ling




