Harapan menanti hujan ketika kebakaran, jerebu melanda Borneo Indonesia

Facebook
WhatsApp
- SEORANG guru sekolah menengah pertama mengendalikan kelas dalam talian di sebuah bilik darjah yang kosong selepas pihak berkuasa tempatan mengarahkan pembelajaran dari rumah berikutan jerebu akibat kebakaran tanah dan hutan di Pontianak, Kalimantan Barat, pada 7 September 2026. Foto AFP

PONTIANAK, Indonesia: Kebakaran hutan yang melanda bahagian Indonesia di pulau Borneo menjejaskan kehidupan masyarakat hingga ke Malaysia akibat jerebu, sekali gus menguji sumber dan ketabahan mereka yang terpaksa berdepan dengan keadaan itu.

Bencana yang sebahagiannya dikaitkan dengan salah satu episod fenomena cuaca El Nino yang menyebabkan kemarau terburuk dalam beberapa dekad itu mengancam akses berjuta-juta penduduk kepada keperluan asas seperti air dan udara bersih, malah pendidikan.

SEORANG guru berkomunikasi dengan murid menerusi telefon bimbitnya ketika berdiri di kawasan sekolah yang diselubungi jerebu, selepas pihak berkuasa tempatan mengarahkan pembelajaran dari rumah berikutan jerebu akibat kebakaran tanah dan hutan di Pontianak, Kalimantan Barat, pada 7 September 2026. Foto AFP

Berikut ialah situasi yang dilihat daripada perspektif tiga pemimpin masyarakat di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia, yang merupakan antara kawasan paling terjejas:

Kebimbangan Guru

Syarifah Hatifah, 57, penolong kanan sebuah sekolah menengah pertama di ibu negeri, Pontianak, bimbang sebahagian daripada hampir 600 muridnya mungkin ketinggalan dalam pelajaran.

Mereka kini memasuki minggu ketiga penutupan sekolah kali kedua pada musim kebakaran ini. Ini merupakan tempoh penutupan paling lama yang pernah diingati Syarifah sepanjang 30 tahun kerjayanya.

Ratusan sekolah ditutup sehingga tempoh yang belum ditentukan di Kalimantan Barat akibat pencemaran udara, dengan kira-kira 200,000 murid mengikuti pembelajaran dari rumah, menurut kementerian pendidikan wilayah berkenaan.

Murid-murid diarahkan kekal di rumah demi kesihatan mereka, kata Syarifah kepada AFP di sebuah bilik darjah yang kosong kecuali dua guru yang mengendalikan kelas dalam talian, dengan puluhan murid terpampang pada skrin masing-masing.

SEORANG penduduk kampung memadam kebakaran di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Lintang Batang, Kubu Raya, Kalimantan Barat, pada 6 September 2026. Foto AFP

“Harapannya, apabila berada di rumah, dari segi kesihatan mereka dapat dilindungi… kerana mereka berada di dalam rumah. Mereka tidak perlu melalui jalan yang dipenuhi debu dan asap,” katanya.

Namun, Syarifah berkata tidak semua murid mempunyai capaian internet yang stabil atau komputer, sekali gus menyukarkan sesetengah daripada mereka mengikuti kelas secara langsung.

“Kadangkala… berlaku gangguan bekalan elektrik di rumah mereka atau mereka terlupa mengecas telefon,” katanya, sambil menambah bahawa sesetengah murid tinggal di kawasan terpencil dengan capaian internet yang tidak stabil.

Guru di sekolah itu hadir setiap hari seperti biasa dan mengendalikan pembelajaran dalam talian dari bilik darjah tanpa alat penapis udara. Mereka tidak memakai pelitup muka supaya murid dapat memahami pengajaran dengan jelas.

Syarifah berkata sekolah itu akan menyediakan kelas tambahan secara percuma selepas pembelajaran secara bersemuka disambung semula.

“Kami berharap jerebu ini akan berlalu dengan cepat. Biasanya selepas hujan turun, jerebu akan hilang,” katanya.

Musim lebih basah di Kalimantan Barat biasanya bermula sekitar Oktober atau November.

GAMBAR udara ini menunjukkan anggota bomba memadam kebakaran tanah gambut di Sintang, Kalimantan Barat, pada 5 September 2026. Foto AFP

Pegawai Kesihatan

Iwansyah, ketua agensi kesihatan Kabupaten Kubu Raya, bertanggungjawab terhadap kebajikan kira-kira 700,000 penduduk yang tersebar di 123 kampung, dengan perkhidmatan disediakan sebuah hospital dan 21 klinik.

Kakitangannya memberi tumpuan kepada usaha mencegah penyakit yang berpunca daripada “udara tidak sihat yang disedut masyarakat setiap hari”.

Setakat September, lebih 1,400 penduduk di kabupaten itu menerima rawatan atau dimasukkan ke hospital akibat jangkitan pernafasan akut, kata Iwansyah yang, seperti kebanyakan penduduk Indonesia, hanya menggunakan satu nama.

Pada Ogos, jumlah berkenaan ialah 6,396 orang.

“Kami mengagihkan pelitup muka kepada orang ramai setiap hari, kira-kira 1,000 pelitup muka sehari. Sudah tentu stok kami semakin berkurangan,” kata pegawai itu kepada AFP.

Iwansyah berkata agensi berkenaan telah memohon bekalan pelitup muka tambahan daripada kerajaan wilayah dan menggalakkan orang ramai membeli sendiri.

Agensi itu turut memantau kes cirit-birit yang berpunca daripada akses kepada air bersih yang semakin terhad akibat kemarau, dengan 225 kes direkodkan setakat bulan ini.

Dengan agensi cuaca Indonesia, BMKG, memberi amaran bahawa keadaan dijangka tidak banyak berubah dalam beberapa minggu akan datang, “kami perlu meningkatkan usaha mitigasi dan membuat persediaan menghadapi keadaan yang berpotensi menjadi sangat serius,” kata Iwansyah.

Usaha itu termasuk menambah stok ubat-ubatan dan peralatan di klinik serta meningkatkan pemantauan terhadap kualiti air dan udara.

“Mudah-mudahan hujan turun antara sekarang hingga November,” kata Iwansyah.

Ketua Dusun

Bagi Yonas, timbalan ketua Dusun Lintang Batang di luar Pontianak, keutamaan adalah peralatan memadam kebakaran.

“Penduduk di sini turut mengumpulkan wang untuk membeli sebuah mesin (pam air) dan hos serta peralatan lain,” katanya kepada AFP pada malam Ahad ketika memadam kebakaran tanah gambut yang telah marak selama empat hari dan mengeluarkan asap yang menyengat.

“Kami masih kekurangan hos, yang menyukarkan usaha untuk memadamkan kebakaran ini.”

Anggota bomba sukarela menggunakan “apa sahaja yang ada. Kadangkala kami menggunakan baldi dan itu pun tidak mencukupi,” kata Yonas, sambil menambah bahawa pasukan berkenaan turut memerlukan makanan dan kelengkapan perlindungan termasuk pelitup muka.

Beliau berkata asap itu amat berbahaya khususnya kepada kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan penghidap asma.

Pemerhatian saintifik menunjukkan jerebu mengandungi paras pencemaran zarah halus toksik yang jauh melebihi had selamat yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Keadaan ini amat berbahaya kepada kesihatan kami yang tinggal di kampung ini,” kata Yonas. – AFP