JULAU: Kebakaran longgokan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Bejawai kembali berlaku sekitar 7.00 pagi hari ini selepas berjaya dipadamkan sepenuhnya awal pagi tadi, menyebabkan operasi pemadaman terpaksa diteruskan untuk hari kedua.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata operasi pemadaman masih dijalankan selepas api kembali muncul di kawasan berkenaan.
“Kebakaran kembali berlaku selepas api dikesan muncul semula sekitar 7.00 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian semalam, BBP Bintangor menerima panggilan kecemasan pada 6.46 petang sebelum sebuah jentera bersama pasukan yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Jais Ahad, serta sembilan anggota bomba bergerak ke lokasi.
Pasukan bomba tiba pada 7.37 malam dan mendapati kebakaran melibatkan longgokan sampah di tapak pelupusan berkenaan sebelum operasi pemadaman dimulakan seminit kemudian.
Mahmudin berkata, tindakan awal dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan bekalan air daripada tangki jentera, manakala beberapa teknik digunakan bagi mengawal kemerebakan api.

Tambahnya, antara cabaran utama operasi ialah ketiadaan pili bomba dan sumber air terbuka berhampiran tapak pelupusan itu, menyebabkan pasukan perlu mendapatkan bekalan air dari lokasi lain.
“Memandangkan tiada sumber air pili bomba dan sumber air terbuka terdekat di lokasi kejadian.
“Tindakan operasi pemadaman bagi mendapat sumber air yang berterusan dengan membentang hos 1,500 kaki, satu nozel, sumber air dari pili bomba ke jentera bagi mengawal kebakaran dan satu aliran 300 kaki, dua nozel dari jentera ke lokasi kebakaran, tindakan mengawal dan memadam dengan teknik laluan pemutus api, serangan langsung ke lokasi kebakaran,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada 11.40 malam, namun kerja pemadaman diteruskan berikutan masih terdapat bara api di bahagian dalam longgokan sampah.
“Kebakaran berjaya dikawal beberapa minit kemudian dan kerja-kerja memadam bara api masih diteruskan kerana masih terdapat bara api di bahagian dalam longgokan sampah sehingga kebakaran padam sepenuhnya.
“Sumber air sukar diperoleh di lokasi disebabkan lokasi tersebut tiada terdapat pili bomba dan sumber air terbuka yang berdekatan,” katanya lagi.

Operasi pertama ditamatkan pada 1.15 pagi selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya, dengan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut berada di lokasi bagi membantu operasi.
Bagaimanapun, kebakaran kembali berlaku kira-kira enam jam kemudian apabila api dikesan semula sekitar 7.00 pagi, sekali gus menyebabkan operasi pemadaman hari kedua disambung hari ini.
Setakat berita ini ditulis, pasukan BBP Bintangor masih menjalankan operasi pemadaman di Tapak Pelupusan Sampah Bejawai.
Oleh Earl Anek





