KUCHING: Kualiti udara di beberapa kawasan Sarawak menunjukkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 12.00 tengah hari, hari ini, berbanding 8.00 pagi tadi.
Menurut data Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB) empat kawasan kini merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Lundu dengan 260, Samarahan (236), Serian (222) dan Kanowit (222).
Berbanding bacaan 8 pagi, Lundu mencatat peningkatan paling ketara sebanyak 49 mata daripada 211 kepada 260, diikuti Serian yang meningkat 31 mata daripada 191 kepada 222.
Samarahan pula meningkat daripada 218 kepada 236, manakala Kanowit daripada 215 kepada 222.
Sementara itu, bacaan tidak sihat turut direkodkan di Lubok Antu (197), Sarikei (197), Kuching (193), Betong (192), Sri Aman (183), Mukah (182), Samalaju (175), Tebedu (177), Bintulu (169), ILP Miri (169), Miri (166), Lawas (149) dan Limbang (138).
Kapit kekal pada tahap sederhana dengan bacaan 92, manakala Bario meningkat daripada 56 kepada 90, namun masih berada pada tahap sama.
Secara keseluruhan, bacaan IPU meningkat di 12 kawasan, menurun di enam kawasan dan kekal di dua kawasan berbanding 8.00 pagi tadi.
Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat, manakala 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.





