PARIS Saint-Germain semalam berkata mereka telah menyelesaikan perjanjian dengan penjaga gawang Euro 2020, Itali, Gianluigi Donnarumma dalam perjanjian lima tahun.
Pemain berusia 22 tahun, yang menyelamatkan dua sepakan penalti dalam pusingan akhir Euro 2020 dan dinobatkan sebagai pemain kejohanan, menuju ke Perancis dengan perpindahan percuma dari AC Milan.
Donnarumma akan bersaing dengan Keylor Navas yang berpengalaman untuk jersi penjaga gawang.
“Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada kelab besar ini,” kata Donnarumma dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Paris SG.
“Saya merasa bersedia untuk menghadapi cabaran baharu ini dan terus berkembang di sini.
“Dengan Paris, saya mahu menang semaksimum mungkin dan memberi kegembiraan kepada penyokong.”
Selama enam musim bersama Rossoneri, penjaga gol kelahiran Naples itu membuat 215 penampilan dalam Serie A bersama dengan 16 perlawanan Liga Europa dan 12 dalam Piala Itali (termasuk final 2016 dan 2018).
Dia merupakan pemain ketiga yang menandatangani kontrak dengan Paris SG dengan perpindahan percuma musim panas ini berikutan ketibaan pemain pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos, yang tamat kontrak di Real Madrid, dan pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum dari Liverpool.
Jurulatih Paris SG, Mauricio Pochettino akan memiliki kemewahan dalam memilih antara dua penjaga gol yang berpengalaman ketika dia ingin memimpin kelab itu memenangi Piala Eropah yang sukar dimenangi.
Navas, pemain antarabangsa Costa Rica, 34, menyertai Paris SG dua musim lalu dari Real Madrid, di mana dia memenangi tiga gelaran juara Liga Juara-Juara UEFA berturut-turut tetapi Donnarumma baru berusia 22 tahun dan segar daripada membintangi Euro 2020.
Menggilirkan penjaga gol adalah sesuatu yang pernah dicuba oleh Paris SG tetapi tidak berjaya sepenuhnya. Sejak beberapa musim kebelakangan ini, mereka sering menggilirkan Salvatore Sirigu, Kevin Trapp, Alphonse Areola dan legenda Itali, Gianluigi Buffon. Areola pemain antarabangsa Perancis dijangka kembali musim ini daripada pinjaman setahun di Fulham.
Navas menyinar ketika Paris SG layak ke final Liga Juara-Juara dua musim lalu dan juga ketika mereka menyingkirkan juara bertahan Bayern Munich di peringkat suku musim lalu sebelum tesingkri di separuh akhir kepada Manchester City. – AFP