Arsenal bangkit bergaya, tamatkan permulaan cemerlang Chelsea

Facebook
WhatsApp
MARTIN Odegaard menjaringkan gol kemenangan Arsenal ketika menentang Chelsea. Foto AFP

LONDON: Arsenal memberi tindak balas penuh bergaya terhadap kemunculan Chelsea sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menang 2-1 sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah jiran mereka itu, pada awal pagi tadi.

Skuad kendalian Mikel Arteta ketinggalan seawal minit kedua menerusi gol Morgan Rogers dalam derbi London yang berlangsung sengit di Stadium Emirates.

Namun, juara bertahan itu membuktikan mengapa mereka dianggap pilihan utama untuk mengekalkan kejuaraan apabila bangkit dengan hebat selepas ketinggalan.

Kai Havertz menyamakan kedudukan menentang bekas kelabnya pada pertengahan babak pertama sebelum Martin Odegaard menjaringkan gol kemenangan Arsenal tidak lama selepas rehat.

Ia menjadi mesej jelas daripada Arsenal yang kini di tangga kedua selepas memenangi kesemua tiga perlawanan liga, hanya di belakang pendahulu Manchester City berdasarkan jumlah jaringan.

Persembahan matang The Gunners turut memperlihatkan keazaman mereka untuk memenangi kejuaraan liga dua musim berturut-turut buat kali pertama sejak era 1930-an.

Bagi pengurus Chelsea, Xabi Alonso, kekalahan itu menamatkan rekod tiga kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan sejak mengambil alih tugas di Stamford Bridge pada awal musim.

Alonso pasti menyedari masih banyak yang perlu diperbaiki Chelsea sebelum mereka mampu menamatkan kemarau kejuaraan yang berlarutan sejak 2017.

Pertahanan Chelsea yang rapuh sering melakukan kesilapan mahal, manakala jentera serangan mereka juga sukar menyerlah ketika berdepan Arsenal berbanding kemenangan besar ke atas Fulham, Luton dan Brighton.

PENYERANG Chelsea #09 Joao Pedro (kiri), melakukan percubaan dari jarak jauh tetapi gagal menjaringkan gol ketika perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Arsenal dan Chelsea di Stadium Emirates, London. Foto AFP

Arteta dan Alonso sudah mengenali satu sama lain sejak zaman kanak-kanak ketika membesar di wilayah Basque, Sepanyol.

Perlawanan sengit zaman muda mereka di atas padang berkerikil di daerah Berio, San Sebastian, mungkin kelihatan tenang jika dibandingkan dengan aksi penuh emosi yang dipamerkan kedua-dua pasukan di utara London.

Chelsea mengatasi Arsenal dalam usaha mendapatkan Rogers dari Aston Villa pada awal musim selepas The Gunners enggan menyamai tawaran £117 juta (AS$158 juta) daripada The Blues untuk pemain tengah England itu.

Rogers membuktikan mengapa Chelsea sanggup menjadikannya pemain Britain paling mahal dalam sejarah apabila meletakkan The Blues di depan selepas hanya 77 saat.

Arsenal tajam di depan gol

Pertahanan Arsenal yang kukuh hanya membenarkan satu percubaan tepat sasaran dalam dua perlawanan pertama mereka.

Namun, pasukan Arteta yang sering unggul dalam situasi bola mati kali ini gagal mengawal sepakan percuma.

Hantaran tinggi Reece James gagal dikeluarkan Declan Rice atau Odegaard, sekali gus memberi peluang kepada Rogers melepaskan rembatan voli rendah melepasi David Raya dari luar kawasan penalti.

Ia adalah gol pertama yang dibolosi Arsenal musim ini.

Chelsea pula sudah melepaskan lima gol dalam dua perlawanan liga pertama di bawah Alonso. Pertahanan tiga pemain mereka sekali lagi terdedah pada minit ke-25.

Havertz dibiarkan bergerak dari sayap kanan ke pinggir kotak penalti tanpa dikawal Jorrel Hato sebelum pemain Jerman itu melepaskan rembatan rendah yang menembusi celah kaki Maxence Lacroix yang lambat bertindak, sebelum menewaskan Emiliano Martinez di tiang dekat.

Martinez dibeli dari Villa bagi menggantikan Robert Sanchez yang sering melakukan kesilapan, tetapi percubaan menyelamatnya yang lemah itu tidak banyak memperbaiki keadaan berbanding pendahulunya.

Pedro Neto hampir mengembalikan kelebihan Chelsea sebelum separuh masa apabila pemain sayap Portugal itu melepaskan rembatan yang terkena tiang jauh.

Ketika Chelsea mensia-siakan peluang, Arsenal pula semakin kejam di depan gol.

Mereka memanfaatkan kelemahan pertahanan Chelsea menerusi gerakan serangan menarik pada minit ke-50.

Christos Tzolis, yang tampil mengagumkan sejak berpindah dari Club Brugge pada awal musim, melakukan hantaran tepat yang membelah pertahanan Chelsea kepada Havertz.

Gerakan bijak Havertz membiarkan bola bergerak kepada Odegaard, sebelum pemain itu tenang menyudahkan peluang dari jarak 10 ela.

Pertelingkahan Rogers dengan Rice mencetuskan ejekan penyokong Arsenal yang melaungkan, “Kamu sepatutnya menyertai kelab besar.”

Chelsea mempunyai peluang untuk membalas ejekan itu, namun Malo Gusto melepaskan rembatan tinggi daripada posisi baik sebelum rembatan kencang Estevao Willian ditepis keluar oleh Raya pada penghujung perlawanan.– AFP

Kenali tatatanda di sepanjang landasan

APABILA kita menaiki kapal terbang pada waktu malam, kita akan melihat susunan lampu-lampu yang dipasang dengan kemas di sepanjang landasan.