Gunung Semeru meletus serentak dengan Anak Krakatau

Facebook
WhatsApp
TANGKAP layar letusan Gunung Semeru dari sebuah video yang tular di media sosial hari ini.

JAKARTA: Serentak dengan letusan besar Anak Krakatau di Indonesia, Gunung Semeru di Pulau Jawa turut meletus, memuntahkan awan yang mengandungi abu setinggi kira-kira satu kilometer dari puncaknya, menurut Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral negara itu hari ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Gunung Semeru meletus pada 7.51 pagi waktu tempatan (00:51 GMT) hari ini.

Letusan itu direkodkan oleh seismograf dengan amplitud maksimum 23 milimeter dan berlangsung selama 102 saat, menurut Badan Geologi.

Terdahulu pada hari sama, Gunung Ili Lewotolok turut meletus, memuntahkan awan yang mengandungi abu setinggi kira-kira 400 meter dari puncaknya.

Letusan berterusan Anak Krakatau dikesan sejak 4 Sept malam, disertai bunyi deram-derum, gegaran dan pancutan lava. Menurut data satelit, abu gunung berapi menjulang hingga kira-kira 14.6 kilometer dari paras laut.

Hari ini, Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengarahkan kerajaan, tentera, polis, pasukan penyelamat serta agensi berkaitan lain supaya terus memantau keadaan dan memastikan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang perkembangan selanjutnya. – Bernama