All Nippon Airways guna robot telekehadiran bantu penumpang dari jarak jauh

Facebook
WhatsApp
ROBOT TELEKEHADIRAN...Robot Newme digunakan All Nippon Airways (ANA) bagi membantu penumpang dari jarak jauh di Lapangan Terbang Hiroshima, Jepun. Foto Agensi

TOKYO: All Nippon Airways Co. (ANA) mula menggunakan robot telekehadiran yang membolehkan petugas mahir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, hab utama di barat Jepun, memberikan panduan dari jarak jauh kepada penumpang di lapangan terbang serantau lain mengenai prosedur daftar masuk serta mengendalikan pertanyaan, susulan peningkatan permintaan daripada pelancong asing, lapor Kyodo News.

Perkhidmatan bantuan penumpang jarak jauh itu membolehkan syarikat penerbangan berkenaan memanfaatkan dengan lebih baik petugas yang mahir berinteraksi dengan pelancong antarabangsa, selain memendekkan masa menunggu penumpang walaupun jumlah petugas di lapangan terbang serantau terhad antara jadual penerbangan atau ketika waktu luar puncak.

Dua robot Newme yang dibangunkan Avatarin Inc., syarikat terbitan ANA Holdings Inc., telah ditempatkan di Lapangan Terbang Hiroshima. Sehingga dua robot masing-masing turut akan ditempatkan di lapangan terbang Komatsu, Nagasaki, Tottori dan Tsushima menjelang akhir Oktober, menurut syarikat penerbangan itu.

Pertanyaan yang dikemukakan menerusi robot berkenaan dikendalikan secara berpusat oleh pasukan khusus di Lapangan Terbang Kansai, hab antarabangsa utama yang menyediakan perkhidmatan untuk Osaka, Kyoto dan kawasan lain di barat Jepun.

Dalam demonstrasi kepada media di Lapangan Terbang Hiroshima pada akhir Ogos, seorang individu yang berperanan sebagai penumpang menekan butang pada robot itu untuk memulakan perbualan dengan petugas Lapangan Terbang Kansai, yang kemudian memberikan panduan mengenai lokasi kiosk daftar masuk dan arah ke restoran di dalam lapangan terbang.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Penumpang di Pusat Sokongan Operasi ANA Maiko Imada berkata, “Kami turut meneroka kemungkinan untuk membolehkan petugas yang bekerja dari rumah menyediakan bantuan jarak jauh pada masa hadapan.” – Bernama