KUCHING: Baru berusia enam tahun, namun suara Muhammad Fattah Harith Muhammad Fahmi Harith sudah cukup lantang mengisi pentas Alam Ria Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Sarawak 2026 di CENTEX Kuching minggu lalu ketika menyampaikan khutbah hingga dinobatkan sebagai juara kategori berkenaan.
Kejayaan Fattah turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada wakil PASTI Kota Samarahan yang sama-sama muncul juara dan bakal membawa cabaran Sarawak ke pentas kebangsaan di Terengganu pada 9 dan 10 Oktober ini.
Bagi kanak-kanak seusianya, pencapaian itu bukan sesuatu yang kecil, lebih-lebih lagi apabila Fattah bukan hanya aktif dalam satu bidang.

Sejak berusia tiga tahun, dia mula menceburi sukan pushbike sebelum mengembangkan penglibatan dalam pelbagai pertandingan, termasuk di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Daripada dunia sukan, Fattah turut menyerlah dalam PASTI apabila pernah muncul juara dalam pertandingan bola sepak mewakili PASTI pada 2025 dan 2026.
Pada 2025, dia turut mewakili PASTI dalam pertandingan Kalam Jamaie dan menduduki tempat kedua sebelum kembali dengan pencapaian lebih membanggakan menerusi kategori khutbah pada tahun ini.
Sedikit demi sedikit, langkahnya mula membuahkan hasil. Hasil penglibatan aktif dalam pelbagai pertandingan, Fattah kini memiliki hampir 100 piala dan penghargaan.

Namun, bagi Fattah, setiap piala yang tersusun bukan sekadar koleksi.
Ia menjadi sebahagian daripada perjalanan seorang anak kecil yang sedang belajar mengenali disiplin, keberanian dan keyakinan diri setiap kali melangkah ke pentas pertandingan. Bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”, semakin banyak pengalaman dilalui, semakin terbina keyakinannya untuk tampil di hadapan orang ramai.
Menariknya, di sebalik deretan piala itu, terdapat satu lagi koleksi yang menggambarkan impian besarnya.
Fattah turut memiliki pelbagai replika pesawat daripada syarikat penerbangan terkenal seperti Qantas Airlines, Emirates dan AirAsia Berhad.

Koleksi itu akhirnya mencetuskan satu cita-cita yang jauh lebih tinggi untuk menjadi seorang juruterbang.
Sebagai anak tunggal, Fattah melalui setiap langkah dalam perjalanan kecilnya bersama ibunya, Siti Nurul Farhana Khalid, 38, yang sentiasa berada di sisi dalam setiap penyertaan dan pencapaiannya.
Ibunya yang bekerja sendiri terus menjadi antara individu penting yang menyokong minat dan penglibatan Fattah dalam pelbagai aktiviti.
Kini, selepas mengharungi pelbagai pertandingan sejak kecil, Fattah sekali lagi akan melangkah ke pentas lebih besar.
Kali ini bukan sekadar membawa nama PASTI Raudhah Kota Samarahan, tetapi turut menggalas harapan Sarawak dalam pertandingan khutbah di Terengganu.
Lebih bermakna, Fattah tidak akan berjuang bersendirian.
Bersamanya nanti turut ada 10 lagi juara negeri daripada PASTI Petra Jaya, Sarikei, Kota Samarahan dan Sibu yang akan membawa cabaran Sarawak dalam kategori masing-masing, iaitu kalam jamaie, sajak, hafazan, azan, pidato, bercerita dan nasyid ke pentas kebangsaan.

Daripada seorang kanak-kanak yang mula aktif dengan pushbike, memiliki hampir 100 piala dan menyimpan pelbagai jenis replika pesawat, Fattah kini terus mengasah bakat serta keyakinan dirinya dalam pelbagai bidang, sambil menyimpan impian untuk suatu hari nanti menerbangkan pesawat sebagai seorang juruterbang.
Buat masa ini, pentas Terengganu menjadi destinasi seterusnya.
Perjalanan Fattah masih panjang. Pada usia enam tahun, dia mungkin baru mengenal dunia pertandingan, pentas dan sorakan, namun setiap pengalaman itu sedang membentuk keberanian, keyakinan dan impian yang akan dibawanya membesar bersama.
Oleh Afiq Sallehi





