Sarawak Energy sedia mekanisme aduan, semakan bil elektrik tinggi

Facebook
WhatsApp
Sarawak Energy. Foto hiasan

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) memberi jaminan setiap aduan berkaitan bil elektrik, termasuk caj yang meningkat secara luar jangka, boleh dikemukakan untuk semakan menerusi mekanisme aduan sedia ada syarikat.

Dalam kenyataan media hari ini, Sarawak Energy berkata setiap kes akan dinilai secara individu berdasarkan keadaan dan maklumat berkaitan akaun pelanggan.

Menurut syarikat itu, proses semakan akan melibatkan pemeriksaan sejarah akaun, rekod bil serta maklumat meter yang tersedia bagi menentukan bagaimana jumlah bil berkenaan dikira.

“Pelanggan yang ingin mendapatkan semakan lanjut terhadap jumlah yang dikenakan boleh mengemukakan rayuan berserta bukti sokongan untuk pertimbangan Sarawak Energy.

“Setiap rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan keadaan kes individu, dengan keputusan dimaklumkan kepada pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Sarawak Energy berkata terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan bil elektrik pelanggan lebih tinggi daripada biasa, termasuk tunggakan akibat kegagalan atau ketidakaturan pembayaran dalam tempoh panjang, bil anggaran yang berpanjangan serta gangguan atau ketidakaturan pada meter.

“Bil yang lebih tinggi mungkin berlaku apabila bacaan sebenar diperoleh selepas tempoh bil anggaran, apabila penggunaan yang sebelum ini kurang direkodkan kemudiannya dicerminkan dalam bil berikutnya,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, syarikat utiliti itu turut mengakui kemungkinan berlaku percanggahan dalam bacaan meter atau proses pengebilan dan berkata sebarang isu yang dikenal pasti menerusi semakan akan disiasat serta ditangani sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad, Yusri Safri berkata, mekanisme berkenaan bertujuan memberi ruang kepada pelanggan mendapatkan penjelasan serta tindakan lanjut terhadap isu bil yang dihadapi.

Bagi pelanggan yang menghadapi kesukaran menjelaskan tunggakan, Sarawak Energy berkata pengaturan bayaran secara ansuran boleh ditawarkan sekiranya masih terdapat jumlah perlu dibayar selepas proses semakan atau rayuan selesai.

Pelanggan boleh mengemukakan aduan melalui Customer Care Centre di talian 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com, aplikasi mudah alih SEB cares atau ejen maya Carina, selain mengunjungi kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy yang terdekat.

Sarawak Energy turut memaklumkan kaunter khas telah dibuka di Wisma SESCO dari 2 hingga 4 September lalu bagi membantu menangani kebimbangan berkaitan bil, dengan sesi libat urus sama dirancang di lokasi lain di seluruh Sarawak.