BINTANGOR: Pesta Meradong 2026 melabuhkan tirainya dengan kejayaan menghimpunkan masyarakat dalam semangat kebersamaan dan kepelbagaian, meskipun kemeriahannya terjejas apabila jerebu memaksa beberapa acara utama dibatalkan serta ditangguhkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran pesta itu mencerminkan hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak termasuk penganjur, sukarelawan, peserta, usahawan serta pengunjung.
“Hari ini, kita bukan sahaja mengakhiri Pesta Meradong 2026, tetapi turut meraikan kejayaan hasil usaha dan kerjasama seluruh warga Meradong.
“Tema ‘Keharmonian Dalam Kepelbagaian’ yang diketengahkan pada penganjuran kali ini bertepatan dengan identiti masyarakat Meradong yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya tetapi terus hidup dalam suasana bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Pesta Meradong 2026 di Pentas Utama, Tapak Pesta Meradong, malam tadi.
Katanya, tema tersebut amat bertepatan dengan semangat masyarakat Meradong yang hidup bersatu dalam kepelbagaian kaum dan budaya.
“Pelbagai aktiviti sepanjang pesta turut memperlihatkan kekuatan perpaduan dan kreativiti masyarakat kita.
“Namun, kemeriahan pesta turut dicabar oleh keadaan jerebu akibat asap kebakaran merentas sempadan.
“Apabila bacaan indeks pencemaran udara (IPU) mencecah 346 pada 1 September, beberapa acara utama seperti Perarakan Tanglung dan Kereta Berhias terpaksa dibatalkan atas faktor kesihatan dan keselamatan, manakala Perlumbaan Bot Laju Bintangor turut ditangguhkan,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab; Pegawai Daerah Meradong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026, Wee Teck Min; Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering serta Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Stephen Lau Chi Sing.
Oleh Earl Anek




