MIRI: Sebanyak sembilan ekor buaya berjaya ditangkap dalam operasi di Kuala Baram, termasuk seekor reptilia berukuran lebih empat meter yang menjadi tangkapan terakhir sebelum operasi rasmi ditamatkan.
Menurut Eric menerusi hantaran di Facebook, operasi yang dijalankan Team Eric Cat bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) itu rasmi tamat sekitar 7.59 malam tadi.
Beliau berkata, tangkapan terbaru membabitkan seekor buaya berukuran lebih empat meter, sekali gus menjadikan keseluruhan sembilan ekor buaya berjaya ditangkap sepanjang operasi berkenaan.

“Operasi kali ini di Kuala Baram berjaya membuahkan hasil dengan sembilan ekor buaya berjaya ditangkap,” katanya.
Eric turut memaklumkan pasukannya akan berehat selama dua hari sebelum sebarang operasi seterusnya dijalankan.
Dalam pada itu, orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan berisiko dinasihatkan supaya terus berhati-hati serta mengutamakan keselamatan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menghampiri buaya sekiranya ternampak reptilia berkenaan dan segera memaklumkan kepada pihak berkaitan.
Kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak, penduduk setempat dan semua pihak yang membantu sepanjang operasi turut dihargai.
Oleh Liong Chai Ling




