Ketua Kaum, JKKK perlu jadi penghubung berkesan masyarakat dengan kerajaan

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi merasmikan Bengkel Memperkasakan Tugas dan Peranan Ketua Kaum dan JKKK Rumah Panjang di Rumah Karin Gerambong, Nanga Menjuau, Ulu Skrang, hari ini. Foto: Roy Angau Gingkoi

SKRANG: Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu terus diperkasakan sebagai penghubung penting antara masyarakat dengan pemimpin serta agensi kerajaan dalam memastikan isu dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi mendapat perhatian sewajarnya.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, peranan itu amat penting dalam menyampaikan isu, keperluan serta aspirasi masyarakat kepada pihak berkaitan, selain membantu mengenal pasti keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, kerjasama erat antara Ketua Kaum, JKKK dan masyarakat juga mampu memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian secara berterusan.

“Program ini menjadi platform untuk memperkukuh peranan Ketua Kaum dan JKKK sebagai penghubung antara masyarakat dengan pemimpin serta agensi kerajaan, khususnya dalam menyampaikan isu, keperluan dan aspirasi masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Memperkasakan Tugas dan Peranan Ketua Kaum dan JKKK Rumah Panjang di Rumah Karin Gerambong, Nanga Menjuau, Ulu Skrang, hari ini.

Dalam pada itu, Roy turut menekankan keperluan meningkatkan kemudahan infrastruktur, terutama jaringan jalan raya di kawasan Ulu Skrang.

Katanya, jaringan jalan raya yang lebih baik amat penting bagi memudahkan pergerakan penduduk selain menyokong pembangunan serta aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

Pada program sama, beliau mengumumkan beberapa peruntukan bagi membantu keperluan komuniti dan pelaksanaan aktiviti pembangunan setempat.

Peruntukan tersebut merangkumi RM12,000 kepada JKKK Nanga Menjuau, RM5,000 kepada Biro Wanita Nanga Menjuau serta RM150,000 kepada JKKK Nanga Menjuau melalui peruntukan tahun 2027.

Beliau berharap bantuan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk menyokong keperluan penduduk serta memperkasa pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Roy turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ketua Kaum, JKKK, Biro Wanita serta seluruh warga Nanga Menjuau atas sambutan, kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program tersebut.

Katanya, kerjasama yang terjalin perlu terus diperkukuh demi memastikan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat di Ulu Skrang dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Oleh Adi Safarman