SIMANGGANG: Sekitar 350 penerima daripada golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas menerima bakul makanan menerusi Program Sejambak Kasih Che Chuan Khor Sri Aman di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata program berkenaan wajar dipuji kerana terus dilaksanakan sebagai inisiatif tahunan dalam menyantuni masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, sumbangan yang diberikan bukan sekadar bantuan berbentuk barangan keperluan, sebaliknya membawa mesej yang lebih besar bahawa setiap anggota masyarakat sentiasa diberi perhatian dan tidak dilupakan.
“Bagi saya, sumbangan ini bukan sekadar sebuah bakul makanan. Nilainya jauh lebih besar kerana ia membawa mesej bahawa tiada siapa yang dilupakan dan kita sentiasa prihatin terhadap mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sejambak Kasih Che Chuan Khor Sri Aman dekat sini hari ini.
Menurut Doris, usaha murni itu juga lebih bermakna apabila bantuan disalurkan tanpa mengira kaum dan agama, sekali gus memperlihatkan semangat perpaduan serta keharmonian yang menjadi kekuatan masyarakat di Sri Aman dan Sarawak.
Katanya, walaupun masyarakat berbeza dari segi agama, budaya, bahasa dan latar belakang, nilai kemanusiaan perlu menjadi keutamaan apabila berhadapan dengan mereka yang memerlukan bantuan.
“Marilah kita bersama-sama membina masyarakat yang lebih penyayang, bertimbang rasa dan prihatin.
“Semoga semangat ‘kita jaga kita’ terus diperkasakan agar Sri Aman kekal sebagai sebuah masyarakat yang aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.
Doris turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Che Chuan Khor Sri Aman, para penyumbang, sukarelawan serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan, sambil berharap setiap sumbangan yang diberikan menjadi inspirasi untuk masyarakat terus melakukan kebaikan.
Turut hadir Setiausaha Pengelola SUPP, Dato’ Mathew Chen Chin Kong; Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Anthony Abel; Ketua Masyarakat termasuk Temenggong, Pemanca dan Penghulu; ketua-ketua agensi kerajaan, Ahli-ahli Majlis Daerah Sri Aman serta para dermawan dan sukarelawan.
Oleh Adi Safarman





