KABONG: Sebanyak 3,734 pek air bersih dan minuman diagihkan kepada penduduk di lima kampung yang terjejas akibat kemarau di Daerah Kabong, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata operasi penghantaran bantuan itu dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kabong.
Beliau berkata, agihan pada hari pertama itu melibatkan Kampung Hulu Tengah, Kampung Hilir Darat, Kampung Hilir Laut, Kampung Hulu Sungai Benang dan Kampung Sungai Endot.
“Sebanyak 448 pek diagihkan di Kampung Hulu Tengah, diikuti Kampung Hilir Darat sebanyak 768 pek dan Kampung Hilir Laut sebanyak 582 pek.
“Manakala Kampung Hulu Sungai Benang menerima 700 pek dan Kampung Sungai Endot menerima jumlah tertinggi iaitu 1,236 pek,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, operasi bermula seawal 7.30 pagi dengan pasukan tiba di lokasi pada 8.15 pagi sebelum tugasan selesai pada 4.00 petang.
Seramai 15 anggota APM, tiga anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang anggota Pejabat Daerah, 13 anggota RELA serta 24 anggota Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong terlibat dalam operasi berkenaan.
Nur Athirah berkata, penggunaan pelbagai kenderaan termasuk kenderaan persendirian dan motosikal membolehkan bantuan disampaikan terus kepada isi rumah yang terjejas.
“Penghantaran bantuan air bersih dan minuman berjalan dengan lancar serta selamat. Kesemua isi rumah telah menerima pek minuman yang diserahkan oleh pihak JKM,” katanya.
Operasi itu turut memperlihatkan kesungguhan agensi berkaitan dalam memastikan keperluan asas penduduk di kawasan terjejas kemarau terus diberi perhatian, khususnya ketika bekalan air menjadi semakin terhad.
Oleh Adi Safarman




