SEBAUH: Pemegang Lesen Memandu Kelas B2 diingatkan supaya tidak mengambil mudah aspek keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan penunggang motosikal.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pemberian lesen memandu kepada golongan belia perlu disertai kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata, golongan muda juga perlu mengelakkan kegiatan lumba haram serta pengubahsuaian motosikal yang melanggar peraturan.
“Memiliki lesen memandu bukan sekadar memenuhi keperluan undang-undang, tetapi turut membawa tanggungjawab untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 2026 di Balai Raya Sebauh, di sini, hari ini.

Dr. Rundi turut menyeru ibu bapa supaya memainkan peranan dalam menasihati anak-anak agar sentiasa mematuhi peraturan dan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili berkata, seramai 436 peserta menerima lesen B2 menerusi program berkenaan.
Beliau berkata, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan kematian akibat kemalangan motosikal masih tinggi, dengan statistik tahun lalu menunjukkan purata 13 kematian sehari.
“Peserta yang menerima lesen B2 perlu mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan motosikal yang digunakan berada dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Norizan memberitahu, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap pemilik motosikal yang melakukan pengubahsuaian melampau, termasuk membabitkan sistem ekzos, tayar dan brek.
Menurutnya, tindakan tegas termasuk pembatalan lesen memandu boleh diambil terhadap pemegang lesen yang didapati terlibat dalam kegiatan lumba haram.
Program berkenaan menawarkan lesen B2 pada kos RM250 berbanding RM750, sekali gus membantu meningkatkan akses golongan muda di kawasan luar bandar untuk mendapatkan lesen memandu secara sah.
Oleh Carolyne Utih




