RM630,000 diluluskan bagi bina semula Rh Jonathan, Nanga Penasu

Facebook
WhatsApp
MOHON BERKAT...Lau ketika upacara miring pada Majlis Pecah Tanah Rh Jonathan Budon di Nanga Penasu, Batang Igan, di sini, hari ini.

SIBU: Impian penduduk Rumah (Rh) Jonathan Budon, Nanga Penasu untuk memiliki kediaman baharu selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran pada Jun tahun lalu bakal direalisasikan menerusi peruntukan RM630,000 bagi pembinaan semula rumah panjang berkenaan.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, peruntukan berkenaan diluluskan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi membolehkan rumah panjang tersebut dibina semula.

“Kelulusan itu diperoleh susulan permohonan yang dikemukakan bagi membantu penduduk membina semula kediaman mereka.

“Usaha tersebut turut mendapat sokongan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, manakala Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memainkan peranan dalam proses kelulusan peruntukan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rumah Jonathan Budon di Nanga Penasu, Batang Igan, di sini, hari ini.

Lau berkata, ketika kebakaran berlaku, semua penghuni rumah panjang berkenaan berdepan cabaran besar, namun mereka tetap menunjukkan semangat untuk bangkit dan membina semula kehidupan.

“Terutama Tuai Rumah (TR) Jonathan bersama Kaunselor Johnny Gani yang bertungkus-lumus mencari jalan bagi membolehkan rumah panjang ini dibina semula supaya semua keluarga dapat kembali menetap di sini,” katanya.

UNTUK RAKYAT…Lau merakam kenangan bersama penduduk selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rh Jonathan Budon di Nanga Penasu, Batang Igan, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembinaan semula rumah panjang itu bukan sekadar menyediakan kediaman kepada penduduk, malah menjadi simbol harapan baharu kepada komuniti berkenaan selepas melalui detik sukar akibat tragedi kebakaran.

Beliau turut menyeru penduduk supaya mengekalkan semangat kebersamaan, saling membantu dan bersatu padu dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.

“Saya harap pembinaan rumah panjang ini bukan sahaja menjadi detik untuk membina rumah baharu, tetapi turut memberikan harapan baharu kepada semua supaya terus tabah dan menjadi komuniti yang lebih bersatu padu,” katanya lagi.

Sementara itu, TR Jonathan berkata, penduduk telah lama menantikan peluang untuk membina semula rumah panjang mereka selepas kediaman terdahulu musnah dalam kebakaran.

“Hari ini adalah hari penting yang amat kami nanti-nantikan. Saya amat berterima kasih kepada SUPP Cawangan Bawang Assan yang diketuai Kaunselor Lau kerana banyak membantu kami mendapatkan bantuan bagi mendirikan rumah panjang baharu ini.

“Mudah-mudahan impian kami dapat direalisasikan dan rumah panjang ini dapat dibina semula,” katanya.

Turut hadir ialah Pemanca Paing Tawi dan Setiausaha Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Ng Siang Wei.

Oleh Akun Giman