SERIAN: Suasana di pekan Serian yang lazimnya meriah dengan kehadiran orang ramai pada hujung minggu kelihatan agak lengang berikutan ancaman jerebu berterusan serta pengisytiharan darurat di bahagian ini.
Tinjauan Bernama di sekitar bandar ini mendapati aktiviti harian penduduk terjejas berikutan kebimbangan terhadap risiko kesihatan, meskipun bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) menunjukkan trend penurunan berbanding paras berbahaya melebihi 500 yang direkodkan semalam.
Penduduk dari Kampung Engkeroh, dekat sini, Elton Arib, 33, mengakui suasana hujung minggu kali ini jauh berbeza berbanding biasa disebabkan jerebu tebal serta bau asap yang menyengat.

“Hujung minggu sepatutnya ramai orang turun ke pekan, tetapi hari ini macam sunyi sebab jerebu. Musim cuti sekolah pun kami tidak bawa anak keluar sebab risau dan perlu jaga-jaga, minum air masak banyak.
“Memandangkan sekolah ditutup minggu depan, anak saya yang masih bersekolah rendah akan dijaga oleh neneknya di kampung. Dalam keadaan seperti ini, kita yang bawa motosikal pun kena lebih berhati-hati dan tidak boleh laju sebab tahap penglihatan rendah,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Keadaan jerebu itu turut memberikan kesan kepada peniaga tempatan seperti Siti Shahrizan Lamat, 25, yang berkata kekurangan jumlah pelanggan secara tidak langsung menjejaskan pendapatan harian keluarganya.
“Disebabkan jerebu, orang ramai tidak berani keluar. Semalam jualan memang agak perlahan dan perniagaan ini sahaja satu-satunya sumber pendapatan tetap kami.
“Pagi ini keadaan ada cerah sikit berbanding semalam, tetapi suasana pekan tetap perlahan berbanding hujung minggu biasa,” kata ibu kepada seorang anak itu.

Sementara itu, peniaga buah-buahan, Sakong Lek, 63, dari Kampung Serian Hilir berharap keadaan cuaca kembali pulih dan hujan renyai di kawasan itu pada awal pagi tadi sedikit sebanyak memberi kelegaan.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pengisytiharan darurat jerebu di Serian turut menyaksikan penutupan 647 sekolah di seluruh Sarawak bermula Isnin ini, dengan sesi persekolahan diteruskan menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Setakat 10 pagi tadi, portal APIMS Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bacaan IPU di Serian mencatatkan penurunan berbanding semalam, namun masih di paras berbahaya iaitu 334. – Bernama




