DEBAK: Tiga projek naik taraf jalan ladang di Inar, Nanga Pek dan Ulu Bayor di sini berjaya disiapkan mengikut jadual, sekali gus memudahkan akses penduduk ke kawasan pertanian.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, ketiga-tiga projek berkenaan dilaksanakan di bawah Program Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban.

Kerja menaik taraf bermula pada 25 Februari lalu dan siap sepenuhnya pada 24 Ogos, dengan tempoh pelaksanaan selama enam bulan.
Projek berkenaan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan jalan masuk yang lebih baik, selesa dan selamat bagi memudahkan penduduk menjalankan aktiviti pertanian serta mengurus kebun dan ladang masing-masing.
Dengan siapnya ketiga-tiga jalan itu, urusan membawa keluar hasil pertanian dari kawasan ladang ke pusat pengumpulan dan pasaran juga dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Kemudahan tersebut pada masa sama dijangka menyokong perkembangan ekonomi setempat, mengurangkan kekangan pergerakan serta membantu komuniti luar bandar mengembangkan kegiatan pertanian dengan lebih produktif.
Pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak melalui BDDA dengan sokongan teknikal JKR Sarawak untuk memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar serta meningkatkan kesalinghubungan dan kesejahteraan penduduk di Debak.



