SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam operasi Task Force Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di tepi Simpang Itop, dekat Lebuh Raya Pan Borneo, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie, berkata operasi berkenaan dijalankan di antara 3.00 petang hingga 5.00 petang.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan susulan maklumat yang diterima pihak polis berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan Task Force Khas yang diketuai Inspektor Asraf Mad Nasir menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki tempatan yang disyaki sebagai penagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu, lelaki terbabit ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Saratok untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian saringan mendapati suspek positif amphetamine (AMPH) dan methamphetamine (METH),” katanya.
Suspek yang berusia 28 tahun dan beralamat di Saratok itu bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Polis turut membuka satu repot tangkapan dan rampasan berkaitan kes berkenaan dengan nombor Saratok/001390/26.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan dikendalikan oleh Sarjan Roslinda Utubesar.
Oleh Adi Safarman




