KUCHING: SHEDA Institute dan Universiti Curtin Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerjasama strategik antara industri dan akademia dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan serta penyelidikan sektor hartanah dan pembinaan di Sarawak.
Pertukaran MoU itu berlangsung sempena majlis perasmian Ekspo Hartanah SHEDA 2026 yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, di sini, hari ini.
Kerjasama berkenaan menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan industri hartanah Sarawak dalam aspek pembangunan bakat, penyelidikan kolaboratif dan penggunaan teknologi.
Ia memberi tumpuan kepada lima bidang teras bagi memperkukuh persekitaran binaan Sarawak, termasuk pembangunan modal insan menerusi kursus jangka pendek serta program diploma dan ijazah yang dilaksanakan secara bersama.
Kerjasama itu turut merangkumi penyelidikan antara industri dan akademia dengan memberi perhatian kepada isu kemampuan memiliki rumah, penggubalan dasar serta cabaran praktikal yang dihadapi industri.
Dalam aspek pembangunan kerjaya, kerjasama tersebut menyediakan laluan secara langsung bagi penempatan latihan industri dan graduan menerusi rangkaian pemaju di bawah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA).
Selain itu, usaha transformasi digital akan diperkasa menerusi penyediaan program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dalam teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) melalui Makmal BIM Satelit CIDB-Curtin.
Kerjasama itu juga merangkumi penglibatan komuniti menerusi pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial secara bersama.
MoU berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam menyelaraskan pendidikan dengan keperluan industri, selain menggalakkan penyelidikan berasaskan bukti dan pembangunan kapasiti bagi membentuk masa depan ekosistem hartanah Sarawak.
Oleh Norman





