PETRA JAYA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi-agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
Pengisytiharan itu membolehkan langkah-langkah yang perlu diambil secara lebih berkesan bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.
Kerajaan turut akan terus memantau perkembangan situasi dari semasa ke semasa serta memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksanakan dengan segera, termasuk langkah mitigasi dan penyampaian maklumat serta nasihat kesihatan kepada orang ramai.
Pengisytiharan berkenaan dibuat susulan keadaan jerebu di Serian yang sebelum ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, sekali gus mencetuskan tahap kecemasan tertinggi di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Terdahulu, Premier Sarawak telah menghubungi Perdana Menteri menerusi panggilan telefon bagi membincangkan situasi jerebu di Serian sebelum perkara itu dibawa ke peringkat Persekutuan untuk proses pengisytiharan.





