Serian berdepan darurat, tunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), hari ini.

KUCHING: Serian kini berdepan kemungkinan diisytiharkan sebagai kawasan darurat susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencecah 521 pada 2.00 petang hari ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi panggilan telefon bagi membincangkan situasi jerebu yang semakin serius di Serian.

Menurutnya, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU yang mencecah 500 mencetuskan tahap kecemasan tertinggi dan memerlukan tindakan pengisytiharan darurat bagi kawasan terbabit.

“Premier tadi berbincang dengan Perdana Menteri memberitahu keadaan Serian dan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kecemasan perlu dijalankan.

“Tetapi ia bukan kuasa negeri, ia kuasa di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), hari ini.

Beliau berkata, selaras Arahan NADMA No. 1, pengisytiharan darurat berkenaan perlu melalui pihak Persekutuan dan diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, keputusan rasmi berhubung pengisytiharan itu masih ditunggu daripada pihak berkuasa Persekutuan.

Sementara itu, sekiranya darurat dikuatkuasakan, ia hanya melibatkan kawasan sekitar Serian dalam lingkungan sekitar 20 kilometer, dan bukan pelaksanaan sekatan pergerakan seperti ketika pandemik COVID-19.

“Darurat ini bukan macam Perintah Kawalan Pergerakan semasa COVID-19 dahulu. Ia bukan ‘lockdown’ , tetapi dengan tujuan memastikan orang awam berada di rumah.

“Pejabat kerajaan dan pejabat swasta diminta tutup, namun beberapa perkhidmatan penting akan terus beroperasi seperti pasar raya, stesen minyak dan bank,” katanya.

Beliau berkata, senarai kawasan serta perkhidmatan yang terlibat akan diumumkan selepas keputusan rasmi berhubung pengisytiharan darurat diperoleh.

Dalam pada itu, kerajaan negeri meminta orang ramai mengambil serius situasi jerebu berkenaan dan mengutamakan kesihatan, termasuk memakai pelitup muka yang bersesuaian sekiranya perlu keluar rumah.