Kerajaan Persekutuan digesa perhebat tindakan tangani jerebu rentas sempadan

Facebook
WhatsApp
WILFRED Yap menggesa Putrajaya supaya segera menyelesaikan isu jerebu.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan lebih proaktif dan tegas bagi menangani keadaan jerebu yang semakin memburuk di Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap.

Yap berkata, Sarawak perlu terus memperkukuh langkah pencegahan kebakaran, pemantauan dan kesiapsiagaan, namun sifat jerebu rentas sempadan memerlukan tindakan lebih berkesan di peringkat Persekutuan dan ASEAN.

“Keadaan jerebu ketika ini amat membimbangkan dan Ahli Parlimen kita perlu membangkitkan perkara ini di Parlimen serta mendapatkan jawapan yang jelas daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh mengawal kebakaran di seberang sempadan dan Sarawak juga tidak boleh berunding secara langsung dengan kerajaan asing. Kerajaan Persekutuan mempunyai saluran diplomatik dan serantau, jadi ia perlu lebih proaktif,” katanya.

Yap berkata pandangan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini wajar diberi perhatian serius, terutama berdasarkan pengalaman beliau sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Persekutuan dari 2015 hingga 2018.

Beliau berkata cadangan Tun Wan Junaidi supaya negara-negara ASEAN berkongsi sumber pemadaman kebakaran dan menggerakkan aset dengan pantas ketika berlaku kebakaran hutan serta tanah gambut adalah praktikal dan wajar dipertimbangkan.

“Tun Wan Junaidi bercakap berdasarkan pengalaman. Kita tidak boleh menunggu sehingga jerebu menjadi semakin teruk sebelum bertindak. Kita memerlukan keputusan lebih pantas, penyelarasan lebih baik dan penggerakan sumber dengan segera,” katanya.

Yap turut mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan termasuk penglibatan dengan Indonesia dan ASEAN dalam usaha pencegahan, pemadaman awal serta operasi pembenihan awan, namun berkata lebih banyak tindakan perlu dilakukan.

Beliau menggesa Putrajaya memperhebatkan hubungan diplomatik dengan Indonesia, mewujudkan mekanisme tindak balas ASEAN yang lebih pantas, memperkukuh perkongsian maklumat titik panas dan kebakaran secara masa nyata, memastikan aset pemadaman kebakaran serta pembenihan awan bersedia untuk digerakkan, dan memberi panduan serta perlindungan tepat pada masanya kepada masyarakat terjejas.

“Ahli Parlimen kita perlu membangkitkan perkara ini di Parlimen dan bertanya mengenai sumber yang tersedia, perbincangan dengan Indonesia, bantuan lanjut yang boleh diberikan kepada Sarawak serta strategi jangka panjang bagi mengelakkan perkara ini menjadi krisis tahunan.

Yap berkata Sarawak akan terus memperkukuh pengesanan kebakaran, penguatkuasaan pembakaran terbuka, pengurusan tanah gambut, kesedaran awam dan kesiapsiagaan kecemasan, namun menegaskan Kerajaan Persekutuan perlu menerajui usaha menangani aspek rentas sempadan.

“Sarawak akan terus melakukan apa yang termampu dalam bidang kuasa kita, tetapi kita tidak boleh memadam kebakaran di negara lain atau berunding dengan Indonesia bagi pihak Malaysia.

Oleh Connie Chieng