DAPSY perlu desak Kabinet Persekutuan, bukan main politik murahan

Facebook
WhatsApp
SETIAUSAHA Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Ibrahim

KUCHING: Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) sepatutnya mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan berhubung isu jerebu rentas sempadan dan bukannya menggesa kerajaan Sarawak mencampuri urusan hubungan antarabangsa dengan Indonesia.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Ibrahim berkata, gesaan Ketua DAPSY Stampin, Lim Kai Bin supaya kerajaan Sarawak mengambil tindakan secara langsung berhubung isu berkenaan jelas menunjukkan kekeliruan mengenai bidang kuasa serta hubungan diplomatik.

Beliau berkata, isu jerebu rentas sempadan merupakan isu antarabangsa yang perlu ditangani melalui kerangka kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Republik Indonesia.

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan keadaan jerebu menyelubungi kawasan sekitar bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, ibu negeri Sarawak di pulau Borneo, pada 1 September 2026. Foto AFP

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah pun membangkitkan perkara ini secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kini terpulang kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan melalui saluran diplomatik yang sewajarnya.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Afiq Fikri berkata, tindakan DAPSY menggesa kerajaan Sarawak mengetepikan protokol diplomatik dan campur tangan secara langsung dalam hubungan dengan Indonesia juga boleh dilihat sebagai pengakuan bahawa isu berkenaan gagal ditangani dengan pantas di peringkat Persekutuan.

Beliau yang juga Timbalan Bendahari bagi Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut mempersoalkan sama ada DAPSY tidak yakin dengan kemampuan Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan Perdana Menteri dalam membawa isu berkenaan di peringkat ASEAN.

Katanya, DAP mempunyai Ahli Parlimen dan menteri Kabinet yang berada di peringkat tertinggi pentadbiran Persekutuan, justeru isu berkaitan kepentingan Sarawak sepatutnya dibawa melalui saluran berkenaan.

“Jika DAP tidak mampu membawa dan menyelesaikan isu serantau yang kritikal melalui Kerajaan Persekutuan, apakah tujuan DAP berada dalam Kerajaan Persekutuan?

“DAPSY mendakwa rakyat Sarawak tidak mahu alasan, tetapi apakah alasan DAP kerana gagal membawa isu ini melalui saluran Persekutuan?” katanya.

Menurutnya, isu jerebu rentas sempadan memerlukan diplomasi yang teliti dan strategik memandangkan ia membabitkan hubungan dua negara.

“Tekanan sudah diberikan kepada Kerajaan Indonesia bukan sahaja oleh negara luar, malah rakyatnya sendiri. Jika tekanan secara terbuka dianggap sebagai kaedah yang berkesan oleh DAPSY, mereka bebas untuk mendesak Kerajaan Indonesia sendiri.

“Bermain politik tidak akan menghilangkan jerebu. Ini merupakan cabaran kompleks dan berpanjangan yang memerlukan diplomasi antarabangsa secara konstruktif,” katanya.

Afiq Fikri berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil peneraju dalam isu berkenaan serta memastikan Indonesia memenuhi komitmen terdahulu bagi mencegah dan mengurangkan masalah jerebu rentas sempadan.

Oleh Afiq Sallehi 

Pemilihan Kata yang Menjadi dalam Sajak

APABILA memperkatakan sajak, fokus utamanya tentu sahaja tentang pemilihan kata. Walaupun tema menjadi asas pemikiran sesebuah sajak dilahirkan, pemilihan kata