Lori muatan kotak terbakar di Lebuh Raya Pan Borneo

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba melakukan kerja pemadaman lori tiga tan yang terbakar di Lebuh Raya Pan Borneo, Bintangor, hari ini. Foto JBPM

BINTANGOR: Sebuah lori tiga tan yang membawa muatan barangan kitar semula berupa kotak terbakar berhampiran Petros Skim B, Lebuh Raya Pan Borneo di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pemandu lori dan kelindannya sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu dan tiada kecederaan dilaporkan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.37 pagi.

ANGGOTA bomba memadam sisa kebakaran pada muatan kotak di belakang lori bagi memastikan api dipadam sepenuhnya. Foto JBPM

Susulan itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor bersama sebuah jentera penyelamat kebakaran ringan (LFRT) dan sebuah Hilux digerakkan ke lokasi.

Pasukan bomba yang tiba pada 10.58 pagi mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori tiga tan dengan anggaran kemusnahan sekitar 60 peratus.

Anggota kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran.

Muatan kotak di bahagian belakang lori turut dibongkar dan dialihkan menggunakan ceiling hook bagi memudahkan kerja pemadaman serta memastikan tiada bara api yang masih menyala.

Kebakaran berjaya dikawal pada 11.18 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.01 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat.

Operasi diketuai Wan Azri Wan Adannan dengan Mahmudin Narudin sebagai Komander Operasi Kanan, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi.