Jambatan Bandar Lawas dibuka kepada orang ramai esok

Facebook
WhatsApp
JAMBATAN IKONIK...Jambatan Bandar Lawas mula dibuka kepada pengguna esok.

LAWAS, 5 November: Jambatan Ikonik Bandar Lawas akan mula dibuka kepada orang ramai esok, sejurus selepas majlis pra pelancarannya yang dijadual berlangsung pada sebelah pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni berkata, jambatan berkenaan telah siap sepenuhnya dan bakal menjadi mercu tanda baharu Bandar Lawas menerusi reka bentuk unik serta sistem pencahayaan yang menarik.

Menurutnya, jambatan itu turut memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 15 Oktober lalu, termasuk melalui audit keselamatan jalan raya, sekali gus membolehkan ia digunakan oleh orang ramai.

“Bermula 6 November 2026, jambatan baharu Bandar Lawas ini akan dibuka kepada orang ramai selepas majlis prapelancaran.

“Jambatan ini telah siap sepenuhnya dan memperoleh CPC pada 15 Oktober lalu, termasuk audit keselamatan jalan raya. Ini bermakna jambatan berkenaan sudah boleh digunakan oleh semua kenderaan,” katanya.

SIDANG MEDIA… Ismawi (tengah) bersama Ubaidillah (kiri) pada sidang media di bilik mesyuarat NRDA Lawas.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung pra pelancaran Jambatan Bandar Lawas di bilik mesyuarat Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah NRDA, Datuk Ubaidillah Latip serta pegawai kanan RECODA.

Majlis pra pelancaran jambatan berkenaan dijadual disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, esok.

Sementara itu, majlis perasmian rasmi Jambatan Bandar Lawas akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 November ini.

Untuk rekod, RECODA merupakan badan berkanun negeri yang ditubuhkan di bawah Ordinan RECODA 2006 bagi menerajui dan mengurus pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Agensi itu memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu menarik pelaburan ke Sarawak, melaksanakan pembangunan infrastruktur serta menjayakan projek sosioekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Oleh Adeng Edrus