LONDON: Juara dunia Formula One (F1) Lando Norris melancarkan pasukan juniornya sendiri, LN4 Fusion, pada Rabu, menjelang Grand Prix Itali hujung minggu ini, lapor PA Media/dpa.
Pasukan itu akan menyertai kejuaraan F3 musim depan serta F4 Itali dan Kejuaraan Eropah Serantau Formula FIA. Kemasukan ke F2 iaitu batu loncatan untuk ke F1 turut dalam perancangan.
Norris, yang merangkul kejuaraan sulungnya musim lepas, berkata beliau berhasrat untuk mencipta pasukan perlumbaan remaja terbaik di dunia sambil berusaha membantu pemandu muda memajukan diri.
“Saya benar-benar bertuah kerana mempunyai beberapa orang hebat di sekeliling saya sepanjang karier dan saya tahu bahawa untuk ke F1 memerlukan lebih daripada sekadar bakat,” kata Norris.
“Anda memerlukan individu yang betul di sekeliling anda, sokongan yang betul dan peluang yang tepat pada masa yang sesuai.”
Pasukan itu, yang diasaskan Norris bersama kumpulan pelaburan, akan berpangkalan di Veneto, di utara Itali, dan akan dikendalikan oleh ketua pasukan Rene Rosin.
Bersama LN4 Fusion, Norris juga melancarkan Program Warisan LN4 iaitu skim warisan bebas yang dibiayai sepenuhnya, bertujuan membantu pemandu muda tanpa sokongan kewangan untuk mencapai kejayaan dalam bidang sukan.
Norris menulis di Instagram: “Saya cukup bertuah untuk mencapai impian saya dan sekarang saya mahu membantu orang lain mencapai impian mereka.” – Bernama-PA Media/dpa





