Abang Johari ketuai delegasi ke Manila bincang ASEAN Power Grid dengan ADB

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026.

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan mengetuai rombongan ke Manila, Filipina, minggu depan bagi mengadakan perbincangan dengan Asian Development Bank (ADB) berhubung isu strategik pembangunan ASEAN Power Grid serta masa depan ekonomi serantau.

Beliau berkata perbincangan itu penting dalam usaha meneliti potensi pembangunan tenaga serta hubungan ekonomi yang lebih luas antara Sarawak, Malaysia dan negara-negara ASEAN.

Menurutnya, Sarawak kini memainkan peranan penting dalam usaha memperkukuh jaringan tenaga ASEAN, khususnya menerusi potensi negeri itu membekalkan tenaga kepada negara-negara di rantau ini.

“Sarawak memainkan peranan sebagaimana dikehendaki oleh Perdana Menteri untuk menjadi ASEAN Grid, iaitu mengeluarkan tenaga untuk kawasan ASEAN, khasnya di antara negara-negara di Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026, di sini, malam ini.

Turut hadir ialah Presiden PKMM Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Naib Presiden PKMM Dato’ Ismail Suut, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo, Dato’ Sri Abdul Karim Tun Openg serta Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS) Dato Dr Zaiedi Suhaili.

Abang Johari berkata penglibatan Sarawak dalam pembangunan jaringan tenaga serantau bukan sahaja berkaitan dengan bekalan tenaga, malah berpotensi membuka ruang kepada negeri itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam pertumbuhan ekonomi ASEAN.

“Dengan ini kita dapat membangunkan ekonomi kita secara serantau. Insya-Allah, mudah-mudahan ia dapat dijayakan,” katanya.

GIMIK perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, Sarawak mempunyai kelebihan menerusi sumber tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga hidro, yang boleh dimanfaatkan bagi menyokong keperluan tenaga serantau.

Beliau berkata pembangunan ekonomi Sarawak pada masa hadapan perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur, penguasaan teknologi serta penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak turut menyambut baik cadangan penubuhan Borneo Business Community (BBC) yang dilihat mampu memperkukuh hubungan ekonomi serta memperluas peluang perniagaan antara wilayah di Borneo.

Menurutnya, cadangan berkenaan dikemukakan oleh Pengerusi Indonesian Chamber of Commerce, Pak Ardi, ketika menemui beliau pada bulan lalu.

Beliau berkata BBC dicadangkan melibatkan Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Negara Brunei Darussalam bagi menghubungkan kekuatan ekonomi setiap wilayah.

“Saya secara prinsip menyambut baik penubuhan Borneo Business Community yang merangkumi Kalimantan, Sarawak, Sabah dan juga Negara Brunei Darussalam.

“Kalau kita dapat wujudkan satu pertubuhan di Borneo ini, di mana kita ada beberapa kekuatan, maka kita dapat membesarkan ekonomi kita,” katanya.

Abang Johari berkata kerjasama ekonomi antara wilayah di Borneo berpotensi mewujudkan jaringan perniagaan yang lebih luas serta membuka peluang baharu kepada sektor swasta dan pemain industri tempatan.

GAMBAR kenangan bersama wakil pelbagai agensi, kontraktor serta ahli PKMM dari cawangan negeri lain yang hadir memeriahkan acara berkenaan.

Beliau berkata perkembangan ekonomi serantau itu juga perlu dimanfaatkan pemain industri Sarawak, termasuk kontraktor Melayu dan Bumiputera, dengan meningkatkan keupayaan serta penguasaan teknologi.

Menurutnya, Sarawak sedang melalui transformasi ekonomi yang memerlukan sektor swasta tempatan bersedia mengambil bahagian dalam pelbagai projek pembangunan berskala besar.

Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan teknologi dan kemahiran bagi memastikan anak Sarawak mampu memenuhi keperluan industri baharu yang berkembang seiring dengan perubahan ekonomi global.

Dalam konteks pembangunan tenaga, Abang Johari berkata Sarawak juga mempunyai potensi besar dalam ekonomi hijau menerusi sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, solar dan biomassa.

Katanya, peralihan kepada ekonomi hijau akan menjadi antara asas penting pembangunan Sarawak, di samping usaha mengimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.

Majlis berkenaan turut menjadi platform bagi kerajaan Sarawak berkongsi hala tuju pembangunan negeri serta peluang yang bakal diwujudkan melalui pelbagai projek infrastruktur, tenaga dan ekonomi berskala besar.

Oleh Afiq Sallehi