MALUDAM: Usaha memperkukuh pemuliharaan ekosistem tanah lembap di Maludam terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan EnCORE Wetlands Project bersama Pusat Biodiversiti ASEAN (ACB).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, beliau menghadiri Mesyuarat EnCORE Wetlands Project bersama ACB bagi membincangkan perkembangan serta pelaksanaan projek berkaitan pemuliharaan dan pemulihan ekosistem tanah lembap.
Menurutnya, perbincangan berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pemuliharaan biodiversiti dan memastikan kelestarian ekosistem terus terpelihara.
Katanya, penglibatan komuniti setempat merupakan antara elemen penting dalam menjayakan usaha pemuliharaan, khususnya bagi memastikan khazanah alam di kawasan Maludam terus dilindungi.
“Khazanah alam di Maludam perlu dipelihara dengan sebaiknya supaya dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, usaha pemuliharaan yang dirancang secara bersepadu mampu membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem selain melindungi kepelbagaian biodiversiti yang terdapat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kerjasama strategik antara pelbagai pihak juga penting bagi memastikan agenda pemeliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Dayang Noorazah berkata, pembangunan komuniti tidak seharusnya dilihat secara berasingan daripada usaha pemuliharaan alam sekitar, sebaliknya kedua-duanya perlu bergerak seiring.
“Inisiatif dan kerjasama strategik seperti ini amat penting dalam memastikan pembangunan komuniti dapat bergerak seiring dengan usaha pemeliharaan alam sekitar secara mampan,” katanya.
Beliau turut berharap pelaksanaan EnCORE Wetlands Project dapat memberi manfaat yang lebih luas kepada masyarakat setempat, khususnya melalui penglibatan komuniti dalam aktiviti berkaitan pemuliharaan.
Pada masa sama, projek berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem tanah lembap sebagai khazanah semula jadi yang perlu dipelihara.
Dayang Noorazah berkata, kelestarian biodiversiti bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak tertentu, malah memerlukan sokongan dan penglibatan masyarakat secara bersama.
“Semoga pelaksanaan EnCORE Wetlands Project dapat memberi impak positif bukan sahaja kepada kelestarian biodiversiti, malah turut membuka ruang kepada penglibatan dan manfaat yang lebih luas kepada masyarakat setempat,” katanya.
Oleh Adi Safarman




