DEBAK: Seekor anak kucing berdepan detik cemas apabila kepalanya terperangkap dalam gegelung paip berukuran kira-kira tiga inci di Kampung Babu Debak, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 1.09 tengah hari yang memohon bantuan untuk menyelamatkan haiwan berkenaan.
Menurutnya, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak kemudian bergerak ke lokasi pada 1.11 tengah hari dan tiba seminit kemudian, kira-kira satu kilometer dari pusat kawalan operasi.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati pengadu bersama seorang lagi individu menunjukkan keadaan anak kucing berkenaan yang kepalanya terperangkap dalam gegelung paip.

“Anggota kemudiannya menjalankan usaha menyelamat dan selepas beberapa ketika, gegelung paip yang membelit leher anak kucing itu berjaya ditanggalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi yang membabitkan tiga anggota lain-lain pangkat (LLP) itu selesai pada 1.17 tengah hari tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Tindakan pantas anggota APM berjaya menyelamatkan anak kucing berkenaan daripada keadaan yang boleh mengancam nyawanya.
Oleh Adi Safarman




