1,006 kotak bantuan bekalan air bersih diagih kepada penduduk Pantu

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 1,006 kotak bantuan bekalan air bersih diagihkan kepada penduduk di sembilan rumah panjang di Daerah Pantu yang terjejas akibat bencana kemarau, hari ini. Foto APM Sri Aman

PANTU: Sebanyak 1,006 kotak bantuan bekalan air bersih diagihkan kepada penduduk di sembilan rumah panjang di Daerah Pantu yang terjejas akibat bencana kemarau, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang, berkata agihan berkenaan dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman sebagai usaha memastikan keperluan asas penduduk yang terjejas dapat disalurkan dengan teratur.

Menurutnya, pasukan berkenaan diketuai Koperal Muhammad Zulkarnie Dawi bersama empat anggota yang bertolak dari PKOD Sri Aman pada 9.45 pagi menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Pasukan tiba di Pejabat Daerah Pantu pada 11.01 pagi sebelum menerima taklimat berkaitan pelaksanaan dan penyelarasan agihan bantuan kepada penduduk terjejas,” katanya.

Beliau berkata, bantuan berkenaan melibatkan penduduk di sembilan rumah panjang sekitar Pantu dengan jumlah keseluruhan 1,006 kotak.

BEKERJASAMA… Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bekerjasama mengagihkan bantuan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas akibat kemarau di Pantu, hari ini. Foto APM Sri Aman

Rumah Jinggan, Menangkin Ili menerima 86 kotak, diikuti Rumah Sadiah, Ragai Baru Tuba (118), Rumah Chendan, Mentu Tengah (108) dan Rumah Zamry, Ipoh Muding (72).

Turut menerima bantuan ialah Rumah Sadut, Sapak Rembai sebanyak 172 kotak, Rumah Udin, Sapak Tengah Pantu (90), Rumah Busang, Ibol Muding (146), Rumah Chaling, Ibol Tengah (44) dan Rumah Lansam, Kandis Asal sebanyak 170 kotak.

Agihan itu penting dalam membantu penduduk menghadapi kesan kemarau berpanjangan, khususnya bagi memastikan bekalan air bersih sebagai keperluan asas terus tersedia.

Leftenan Kamal berkata, usaha berkenaan mencerminkan tindakan berterusan agensi berkaitan dalam memastikan bantuan kepada komuniti yang terjejas akibat bencana kemarau dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.

“Semoga bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban penduduk serta memastikan kebajikan dan keperluan asas komuniti yang terjejas sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Oleh Adi Safarman