Bahu jalan rosak, keselamatan pejalan kaki Bintawa terancam

Facebook
WhatsApp
GEORGE Lam menunjukkan bahu jalan yang runtuh dan berlubang berhampiran perhentian bas di Bintawa, Kuching.

KUCHING: Bahu jalan yang runtuh dan berlubang berhampiran perhentian bas bertentangan Pusat Penjaja Bintawa menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk, terutama mereka yang berjalan kaki untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, George Lam, berkata keadaan itu menyukarkan penduduk dari kawasan Bintawa River View Garden untuk berjalan dengan selamat ke perhentian bas berkenaan.

Beliau berkata, sebahagian kawasan yang rosak turut bertakung air, menyebabkan pejalan kaki terpaksa berjalan terlalu hampir dengan jalan raya ketika menuju ke perhentian bas.

“Masalah ini sudah lama berlaku dan penduduk juga telah membuat aduan kepada MBKS. Namun, isu ini masih berlarutan sehingga kini,” katanya.

Sehubungan itu, Lam menggesa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menjalankan kerja pembaikan dengan segera bagi memastikan laluan berkenaan selamat digunakan oleh penduduk.

Menurutnya, bahu jalan berkenaan sebelum ini mengalami kerosakan teruk akibat kenderaan berat yang sering diletakkan di kawasan tersebut.

Lam turut berkata, masalah berkaitan kemudahan pejalan kaki bukan hanya berlaku di Bintawa, malah terdapat banyak kawasan di Kuching yang mempunyai perhentian atau tempat berhenti bas tanpa laluan pejalan kaki yang sempurna.

Katanya, keadaan itu menyebabkan orang ramai terpaksa berjalan di bahu jalan, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan, khususnya ketika menuju ke perhentian bas.

Beliau berkata, aduan rasmi mengenai perkara itu telah dibuat kepada MBKS melalui saluran rasmi dan berharap pihak berkuasa tempatan tidak menggunakan alasan tiada aduan diterima untuk mengelak daripada mengambil tindakan.

Lam turut mempersoalkan tindakan Ahli Majlis Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bertanggungjawab terhadap kawasan Bintawa dan Taman Riverview serta pemimpin masyarakat SUPP yang didakwa tidak membangkitkan perkara itu kepada MBKS.

“Penyelenggaraan kemudahan awam merupakan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan. Dalam kes ini, masalah tersebut seolah-olah telah terlalu lama dipandang ringan sehingga keselamatan pejalan kaki terjejas,” katanya.

Beliau turut menegaskan perlunya suara pembangkang yang lebih kuat untuk membangkitkan isu rakyat, selain memastikan pentadbiran pihak berkuasa tempatan dan dasar kerajaan terus dipantau.

Oleh Connie Chieng