Sarawak laksana pembenihan awan tiga hari bermula esok, sasar Bakun, Murum dan Batang Ai – Uggah

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa mempengerusikan mesyuarat khas bersama 35 KMKK kawasan DUN Bukit Saban di PAWE Spaoh, hari ini. Foto Dato Dr Richard Rapu

SPAOH: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan operasi pembenihan awan selama tiga hari bermula esok hingga 5 September ini sebagai langkah segera membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air susulan cuaca panas dan kering yang berterusan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi itu akan memberi tumpuan kepada pembentukan hujan di beberapa kawasan strategik yang menjadi sumber penting simpanan air negeri.

Menurutnya, antara lokasi utama yang disasarkan ialah Empangan Bakun, Murum dan Batang Ai, selain beberapa kawasan penyimpanan bekalan air di seluruh negeri.

“Besok, kita ada satu pasukan yang akan mengadakan pembenihan awan. Kita berharap ia dapat dijalankan mulai 3 hingga 5 September.

“Matlamat kita adalah menyasarkan awan supaya hujan dapat membantu beberapa kawasan, termasuk empangan Bakun, Murum dan Batang Ai, serta sumber penyimpanan bekalan air di beberapa tempat di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama 35 Ketua Kaum dan Masyarakat (KMKK) kawasan DUN Bukit Saban di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Spaoh, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, operasi pembenihan awan bukanlah usaha baharu kerana kaedah sama telah dilaksanakan pada Mei dan Jun lalu.

Katanya, operasi sebelum ini menunjukkan hasil yang memuaskan terutama di kawasan Murum dan Bakun apabila hujan berjaya dihasilkan bagi membantu meningkatkan sumber air.

“Di Murum dan Bakun, ia membawa hasil yang memuaskan, walaupun di Batang Ai hasilnya sedikit kurang.

“Kita harap kali ini ia akan menghasilkan lebih banyak hujan dan usaha pembenihan awan akan diteruskan bagi membantu menyelesaikan masalah air,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri terus memperkemas kesiapsiagaan menghadapi keadaan panas dan kering yang memberi kesan terhadap bekalan air di beberapa kawasan.

Pusat Operasi JPBNS melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kini giat memantau perkembangan bekalan dan kekurangan air di seluruh Sarawak menerusi bilik operasi di tingkat satu pusat operasi.

Kerajaan negeri turut meminta orang ramai supaya terus bersabar susulan cabaran bekalan air yang berlaku, sambil memberi jaminan bahawa pelbagai langkah sedang digerakkan bagi mengurangkan kesannya terhadap penduduk.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong sehingga kini telah mengagihkan 45,000 kotak air mineral kepada penduduk yang terjejas akibat masalah bekalan air.

Langkah pembenihan awan itu diharap dapat membawa hujan yang diperlukan, sekali gus membantu memulihkan paras sumber air dan meringankan tekanan bekalan air di kawasan terjejas.

Oleh Adi Safarman