PUTRAJAYA: Sambutan Hari Malaysia 2026 pada 16 September ini akan diteruskan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak namun acara di luar bangunan dibatalkan berikutan keadaan jerebu yang membimbangkan di Kuching dan Serian.
Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan selepas mengambil maklum situasi jerebu di kedua-dua kawasan.
“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa keadaan jerebu yang agak membimbangkan di Kuching dan Serian di Sarawak akan mengakibatkan acara-acara di luar bangunan tidak dapat diteruskan.
“… tetapi untuk Sambutan Hari Malaysia, ia akan diadakan dalam bangunan pada 16 September di sebelah malam,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Jemaah Menteri dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bahawa operasi pembenihan awan di Sarawak tidak dapat diteruskan kerana kelompok awan yang dikesan ketika ini tidak sesuai susulan pergerakan angin yang berpotensi membawa awan ke Laut China Selatan.
“Jadi, sekiranya dilakukan pembenihan, hujan tidak akan turun di kawasan yang diperlukan,” katanya.
Tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara pada tahap berbahaya setakat 8.00 pagi ini, dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Serian mencatat bacaan tertinggi, iaitu 320 diikuti Kuching (318) dan Samarahan (302).
Sementara itu, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan yang menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pada Isnin lepas.
Beliau berkata lebih 100,000 orang menghadiri sambutan berkenaan manakala lebih 10,000 terlibat sebagai kontinjen dan sebahagian daripada persembahan formasi grafik manusia.
“Kita percaya program-program sisipan juga yang telah diadakan mampu untuk memberikan satu pengalaman yang baharu dan baik untuk pengunjung-pengunjung ke Putrajaya sempena Hari Kebangsaan,” katanya.- Bernama




