SIBU: Pemilik tanah bergeran (title land) di sepanjang Jalan Sibu Bypass digesa memastikan kawasan milik mereka tidak diceroboh untuk aktiviti pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan jerebu.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai berkata, kerjasama pemilik tanah amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang melakukan pembakaran terbuka dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
“Saya difahamkan kebanyakan tanah di sepanjang Jalan Sibu Jaya Bypass, khususnya dari Jalan Kong Yit Khim, merupakan tanah bergeran atau title land yang sudah mempunyai pemilik.

“Oleh itu, saya menggesa pemilik tanah memastikan kawasan mereka tidak diceroboh atau digunakan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan pembakaran terbuka.
“Ini penting supaya pihak berkuasa seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab untuk tindakan undang-undang,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Menurut Sempurai, berdasarkan maklumat yang diterima daripada NREB dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), terdapat aktiviti pembakaran berkaitan pertanian yang tidak dikawal sehingga menyebabkan api merebak ke kawasan hutan berhampiran.
“Saya melihat kegiatan pembakaran secara terbuka oleh orang ramai amat mengecewakan terutamanya di Jalan Sibu Jaya Bypass daripada Jalan Kong Yit Khim.
“Walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sibu telah mencapai status sangat tidak sihat, tetapi mereka masih lagi tidak menghiraukan amaran dan nasihat daripada oihak berkuasa terutamanya NREB dan JBPM,” ujarnya.

Katanya, perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja boleh menyebabkan kebakaran merebak, malah menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya di Sibu Jaya dan rumah panjang berhampiran.
“Keadaan jerebu akibat asap rentas sempadan yang ditambah dengan pembakaran tempatan boleh memberi kesan serius kepada penghidap penyakit kronik seperti asma dan penyakit paru-paru.
“Saya menyeru orang ramai, khususnya mereka yang berada di sepanjang Jalan Sibu Jaya Bypass supaya menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka buat masa ini,” ujarnya.
Sempurai berkata, NREB juga akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada terhadap pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka.
Beliau turut menggesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) supaya sentiasa berhubung dengan penduduk di kawasan masing-masing dan menasihatkan mereka agar tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang keadaan jerebu masih membimbangkan.
Bertindak atas laporan dari penduduk rumah panjang semalam, Sempurai turun padang meninjau pembakaran terbuka di Jalan Sibu Jaya Bypass daripada Jalan Kong Yit Khim.
Oleh Akun Giman





