DEBAK: Seekor ular sawa batik dianggarkan sepanjang 3.65 meter berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Debak selepas ditemui di dalam kandang ayam milik penduduk di sini.
Menurut kenyataan APM Debak, kehadiran reptilia berkenaan dipercayai menyebabkan beberapa ekor ayam milik pengadu menjadi mangsa.
“Pengadu menyedari bilangan ayam di dalam kandang semakin berkurangan sebelum mengesyaki terdapat haiwan liar memasuki kandang berkenaan.
“Bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarganya, pengadu kemudian menghubungi APM Debak untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anggota APM yang tiba di lokasi menjalankan pemeriksaan di sekitar kandang sebelum mengesan ular sawa berkenaan.
“Ular tersebut kemudiannya berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas dan teknik yang sesuai.
“Operasi berkenaan dijalankan dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” jelasnya.





