KUCHING: Amalgamated Plant Engineering Sdn Bhd (AMAL) melihat pencapaian pensijilan ISO 29001:2020 bukan sekadar kejayaan memperoleh sijil baharu, sebaliknya sebagai langkah penting memperkukuh sistem operasi, proses dan keupayaan tenaga kerjanya.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AMAL, Jack Lin Kok Kiat berkata, pensijilan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap kualiti, penambahbaikan berterusan dan amalan perniagaan bertanggungjawab dalam industri minyak dan gas.
Menurutnya, perjalanan AMAL mendapatkan ISO 29001:2020 bermula pada 2024 menerusi penyertaan dalam inisiatif kesedaran standard berkenaan yang dianjurkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersama SIRIM.
“Inisiatif itu memberi peluang kepada syarikat untuk memahami keperluan ISO 29001 serta implikasinya terhadap organisasi yang beroperasi dalam industri petroleum, petrokimia dan gas asli.

“Apabila keperluan itu kemudiannya bergerak ke arah pelaksanaan mulai 1 Januari 2026, kami menyedari bahawa ini bukan sekadar mendapatkan satu lagi sijil.
“Ia adalah mengenai mempersiapkan organisasi dan memastikan sistem, proses serta tenaga kerja kami bersedia memenuhi jangkaan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Pensijilan ISO 29001:2020 kepada AMAL di sebuah hotel terkemuka, di sini, baru-baru ini.
Majlis tersebut menyaksikan AMAL menerima pensijilan ISO 29001:2020 daripada Institusi Piawaian British (BSI) dalam satu majlis penyerahan sijil yang turut disaksikan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).

Tambah Jack Lin, pencapaian itu turut menjadi kesinambungan kepada komitmen AMAL dalam membangunkan sistem pengurusan yang kukuh menerusi pensijilan ISO 9001 pada 2005, ISO 14001 pada 2023 serta peralihan daripada OHSAS 18001 kepada ISO 45001 pada 2021.
“Setiap pensijilan yang diperoleh merupakan satu lagi langkah dalam memperkukuh kaedah syarikat beroperasi dan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Pensijilan ini mewakili usaha dan komitmen pihak pengurusan serta seluruh pasukan AMAL, selain mencerminkan komitmen kami terhadap kualiti, penambahbaikan berterusan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dalam industri minyak dan gas,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada BSI atas bimbingan sepanjang proses pensijilan, selain menegaskan bahawa memahami peranan dan kepentingan ISO 29001 adalah sama penting dengan memperoleh sijil tersebut.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengagihan Gas, MUT, Kasvenda Kassim berkata, pelaksanaan keperluan ISO 29001:2020 bagi pelesenan di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) bagi permohonan baharu dan pembaharuan lesen bermula 1 Januari 2026.
“Pencapaian AMAL menunjukkan langkah proaktif syarikat dalam membangunkan sistem pengurusan kualiti yang selaras dengan keperluan industri petroleum, petrokimia dan gas asli.
“Ia juga mencerminkan kesediaan industri untuk memenuhi keperluan kualiti yang ditetapkan serta memperkukuh keupayaan dan kredibiliti organisasi dalam jangka panjang,” ujarnya.
Untuk rekod, Amalgamated Plant Engineering Sdn Bhd (AMAL) ditubuhkan pada 1994 dan merupakan kontraktor minyak dan gas yang berpangkalan di Bintulu, Sarawak, dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri berkenaan.
AMAL menyediakan perkhidmatan berkaitan pengurusan projek, pembinaan dan penyelenggaraan loji, kerja turnaround dan shutdown, pembinaan serta penyelenggaraan saluran paip, selain projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Antara pensijilan sistem pengurusan yang telah diperoleh AMAL ialah:
ISO 9001:2015– Sistem Pengurusan Kualiti, diperoleh pada 22 Disember 2005.
OHSAS 18001:2007 – Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, diperoleh pada 1 November 2012.
ISO 45001:2018 – Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, melalui peralihan daripada OHSAS 18001 pada 18 Februari 2021.
ISO 14001:2015 – Sistem Pengurusan Alam Sekitar, diperoleh pada 29 Mac 2023.
ISO 29001:2020 – Sistem Pengurusan Kualiti bagi Industri Petroleum, Petrokimia dan Gas Asli, diperoleh pada 3 Jun 2026.
Pensijilan ISO 29001:2020 tersebut meliputi perkhidmatan AMAL dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, penyelenggaraan, pelaksanaan projek dan sokongan teknikal bagi kerja mekanikal serta awam melibatkan paip, dandang, bejana tekanan dan kemudahan berkaitan minyak dan gas.
Sebagai badan pensijilan, BSI ditubuhkan pada 1901 dan merupakan badan piawaian kebangsaan United Kingdom yang menyediakan perkhidmatan piawaian, pensijilan dan jaminan kepada organisasi di peringkat global. Oleh Masrin Affirah





