JKN Sarawak perhebat pemantauan penyakit berkaitan jerebu

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib pada sidang media hari ini.

SIBU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mempertingkatkan survelan penyakit berkaitan jerebu susulan peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan konjunktivitis atau sakit mata di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah itu turut melibatkan usaha memperkukuh perkhidmatan perubatan serta memastikan bekalan ubat, peralatan dan anggota kesihatan di hospital serta klinik kesihatan sentiasa mencukupi.

Menurutnya, pemantauan menerusi 15 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh Sarawak mendapati purata kes URTI meningkat daripada sekitar 1,717 kes seminggu pada awal tahun ini kepada 1,752 kes seminggu sejak kebelakangan ini.

“Kes konjunktivitis turut mencatatkan trend peningkatan daripada sekitar 17 kes seminggu kepada 21 kes seminggu dalam tempoh yang sama.

“Perhatian khusus diberikan kepada kes URTI yang meningkat secara mendadak pada pertengahan Ogos, dengan Zon Selatan merekodkan sekitar 1,250 kes, Zon Tengah melebihi 1,000 kes dan Zon Utara mencatatkan angka kemuncak menghampiri 400 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan rasminya ke Klinik Kesihatan Jalan Oya, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Mukah itu berkata, dari Januari hingga akhir Ogos 2026, fasiliti sentinel berkenaan merekodkan sekitar 694,800 lawatan pesakit yang merangkumi 64,688 kes URTI dan 6,156 kes asma.

Bagaimanapun, Hanifah berkata, pemantauan keseluruhan menunjukkan aktiviti asma di Sarawak secara amnya kekal stabil walaupun kedatangan pesakit asma ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak meningkat pada beberapa hari dalam Ogos.

Katanya, tiada lonjakan berterusan yang ketara bagi kes asma direkodkan di peringkat negeri setakat ini.