SIMANGGANG: Kebakaran belukar seluas sekitar dua hektar berlaku di Jalan Bungkang, di sini semalam, sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba.
Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 1.41 petang.
Susulan laporan itu, pasukan bomba digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai dengan kekuatan sebuah Jentera Pemadam Kebakaran (Fire Rescue Tender, FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (Emergency Medical Rescue Services, EMRS).
Operasi diketuai PBK I Noor Faqriakmal bersama anggota BBP Sri Aman.

Setibanya di lokasi, pasukan operasi mengesahkan berlaku kebakaran belukar membabitkan kawasan seluas sekitar lima ekar.
Pasukan bomba kemudian menjalankan penilaian awal keadaan sebelum membentangkan satu aliran hos sepanjang 600 kaki, cabang pembahagi serta 400 kaki hos serangan dengan dua nozel.
Air daripada tangki jentera dan pam angkut dari sumber air terbuka digunakan secara kaedah pengepaman secara berperingkat bagi memastikan operasi pemadaman dapat diteruskan.
Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran sehingga api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.
Selepas memastikan tiada lagi kemerebakan api, pasukan operasi membuat pemeriksaan akhir sebelum operasi ditamatkan.
Bagaimanapun, kekurangan sumber air menjadi antara cabaran yang dihadapi pasukan bomba sepanjang operasi pemadaman.
Oleh Adi Safarman




