KUCHING: Hubungan erat antara Sarawak dan China terus diperkukuh menerusi pertemuan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping, hari ini.
Pertemuan menerusi kunjungan hormat di Kompleks Satria Pertiwi itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai beberapa perkara yang mempunyai kepentingan bersama.

Ia turut membuka ruang untuk membincangkan usaha memperluas hubungan sedia ada, selain meneroka potensi kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat kepada Sarawak dan China dalam pelbagai bidang.
Kunjungan berkenaan juga mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan serta kerjasama yang telah terjalin.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datu Lester Matthew; Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED), Ir. Dr Angelia Liew San Chuin serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan (MOTS), Mohamad Lotfi Tuah.





